Tiga sungai lebih paras bahaya, satu PPS dibuka

- Advertisement -

ALOR SETAR: Hujan lebat yang melanda Kedah semalam menyebabkan beberapa sungai berada dalam keadaan waspada, manakala sehingga jam 10 malam tadi, tiga daripadanya berlaku kenaikan ke paras bahaya.

- Advertisement -

Berdasarkan maklumat di laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tiga sungai yang mencatatkan kenaikan air melebihi paras bahaya iatu Sungai Gurun di Yan, Sungai Laka di Kubang Pasu dan Sungai Sari, Padang Terap.

Manakala Sungai Janing dan Sungai Perik di Padang Terap, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Bata di Kubang Pasu, berada pada paras amaran dan waspada.

Sementara pihak Pertahanan Awam Daerah Sik juga setakat ini sedang memantau paras air sungai utama di daerah itu khususnya Sungai Chepir yang juga mencecah ke paras waspada.

Dalam pada itu, hujan yang melanda Kedah bermula awal pagi semalam juga menyebabkan berlakunya pokok tumbang di beberapa tempat di daerah Sik.

Berikutan itu juga beberapa kawasan di daerah Kubang Pasu mengalami banjir kilat ekoran hujan dari pagi hingga petang semalam dan menjejaskan sebilangan kediaman penduduk terutama di kawasan rendah.

Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, Jitra berikutan tiga kampung di Mukim Malau dilanda banjir kilat, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi berkata, PPS itu menempatkan 53 mangsa daripada 15 keluarga dari tiga kampung terjejas.

Beliau berkata, kejadian banjir sejak jam 9:15 malam itu menyebabkan Kampung Padang Panjang, Kampung Sampang dan Kampung Lubuk Ipoh terjejas. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

- Advertisement -