Selamat menyambut Perayaan Kuih Bulan buat masyarakat Cina – DPPM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR:  Lajnah Perpaduan Nasional, Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Kuih Bulan kepada semua rakan-rakan berbangsa Cina yang meraikannya.

- Advertisement -

DPPM dalam kenyataannya hari ini berkata, masyarakat Cina meraikan Perayaan Musim Luruh (Mid Autumn Festival). 

“Nama yang lebih popular bagi perayaan ini adalah Perayaan Kuih Bulan atau Pesta Tanglung kerana perayaan ini tidak lengkap tanpa kuih bulan dan tanglung. 

“Ia berlangsung pada hari ke-15 bulan ke-8 kalendar lunar Cina,” ujar kenyataan itu.

Tambah kenyataan tersebut, di Malaysia, segelintir masyarakat Cina masih menyambut perayaan ini, walaupun ia kurang popular dalam kalangan generasi moden.

“Selain itu, perayaan ini turut disertai perarakan dan pelepasan tanglung, di mana mereka berdoa sambil membakar lilin dalam tanglung dengan harapan hajat mereka akan terkabul,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, turut dikongsikan cerita berkenaan perayaan ini di China, bulan sering kelihatan paling terang pada musim luruh, yang juga merupakan musim menuai.

“Pada zaman dahulu, petani akan makan besar bersama keluarga sambil menikmati keindahan bulan. Perayaan ini mula dirayakan secara besar-besaran semasa Dinasti Tang (618-690M), dengan munculnya pelbagai kisah mitos.

“Salah satu kisahnya ialah Maharaja Tang Mung yang dikatakan mengunjungi istana di bulan. 

“Ketika Dinasti Ming (1368-1644), upacara menyembah bulan semakin popular, di mana maharaja akan mempersembahkan korban kepada Dewi Bulan setiap tiga tahun. 

“Upacara ini biasanya dilakukan di taman diraja dalam istana,” jelasnya.

Dalam pada itu, ada juga mitos terkenal berkisah Chang Er yang melayang ke bulan. Suaminya, Hou Yi, merupakan seorang pemanah yang berjaya memanah sembilan daripada sepuluh matahari yang muncul serentak dan menyelamatkan bumi daripada kepanasan melampau.

Sebagai ganjaran, Hou Yi menerima ubat keabadian, namun apabila Fengmeng, murid yang cemburu itu cuba mencurinya, Chang Er secara tidak sengaja menelan ubat itu dan terapung ke bulan dan menjadi dewi.

“Bukan itu sahaja, ada juga kisah kuih bulan yang dikaitkan dengan perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan Mongolia di bawah Dinasti Yuan. Pemberontak menyembunyikan mesej rahsia di dalam kuih bulan yang berbunyi “Bunuhlah orang Tartar pada hari ke-15 bulan ke-8.” 

“Pada malam itu, penduduk bangkit menentang askar Mongolia dan berjaya menumbangkan Dinasti Yuan, membuka jalan kepada kemunculan Dinasti Ming. Walaupun kisah ini berkisar pada tokoh sejarah, ia dianggap sebagai dongeng,” ujar kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Lajnah Perpaduan Nasional, Dewan Pemuda PAS Malaysia turut berkongsi kenyataan mantan mufti Wilayah Persekutuan yang juga mantan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Muhammad Al Bakri, yang telah mengeluarkan fatwa melalui satu penulisan di Bayan Linnas bahawa hukum menyambut pesta ini adalah harus dengan mematuhi beberapa garis panduan setelah dirujuk kepada panel berbangsa Cina, Unit Konsultasi Akidah Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

“Syarat yang pertama adalah elakkan unsur-unsur keagamaan yang bertentangan dengan syariat, seperti menulis doa pada tanglung atau menyebut nama Dewi Bulan.

“Kedua pula, acara pelepasan tanglung tidak boleh mempercayainya untuk menunaikan hajat,” katanya.

Tambah kenyataan itu, aktiviti ini perlu dianggap sebagai sebahagian daripada adat dan budaya semata-mata dan doa tersebut boleh digantikan dengan kata-kata motivasi dan nasihat.

Kenyataan tersebut juga berkongsi mengenai kuih bulan halal yang diusahakan oleh seorang pengusaha Melayu.

“Terdapat pengusaha kuih bulan halal, Puan Pujiah, seorang aktivis Lajnah Perpaduan Nasional PAS di Kapar telah memulakan perniagaan kuih bulan halal dan usaha ini jarang dilihat dalam kalangan komuniti Muslim,” katanya.– HARAKAHDAILY 17/9/2024

- Advertisement -