Pesta Air Kuala Perlis 2024 bantu lonjak TMPs

- Advertisement -

KANGAR: Selepas terhenti sejak 2019 akibat pandemik Covid-19, Pesta Air Kuala Perlis 2024 kembali dianjurkan dengan lebih meriah menyemarakkan lagi sambutan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

- Advertisement -

Pesta tradisi negeri yang berlangsung dari 12 hingga 15 September itu dirasmikan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dengan julung kali diadakan pada waktu malam.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda mereka, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan juga turut hadir dalam acara yang menyaksikan pentas perasmian dibina di atas muara sungai Kuala Perlis.

Gamitannya acaranya begitu terserlah dengan hiasan lampu-lampu indah di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Perlis.

Pesta Air Kuala Perlis yang mula dianjurkan sejak 1961 ternyata dinantikan penganjurannya dengan turut dijayakan oleh agensi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Selain persembahan kebudayaan, acara turut diserikan dengan nyanyian oleh artis terkenal, Datuk Jamal Abdillah dan pertunjukan bunga api di mana pesta diakhiri dengan pertandingan perahu berhias yang menarik perhatian ramai.

Sebanyak 15 kampung serta enam agensi mengambil bahagian dalam pesta ini, termasuk penyertaan peserta dari Puju, Thailand.

Acara yang dipertandingkan termasuk perahu tradisi 12, perahu tradisi 14, perahu fiber 20, serta pertandingan lain seperti panjat tiang licin, menjala ikan, dan keceriaan kampung.

Che Murad Sayang berkata, penganjuran pesta air ini adalah acara tradisi yang telah dilaksanakan sejak 1950-an di mana memainkan peranan penting dalam mempromosikan sektor pelancongan Perlis.

“Pesta ini bukan sahaja menjadi produk pelancongan, malah merupakan medium untuk merapatkan hubungan masyarakat dan memberi kesedaran tentang kepentingan mengekalkan nilai warisan untuk generasi akan datang,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

- Advertisement -