
SIK: Penduduk kampung yang tinggal berhampiran sungai dinasihatkan agar berwaspada, berikutan paras air Sungai Chepir berada di paras bahaya
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, hujan lebat yang melanda daerah itu sejak awal pagi semalam, telah menyebabkan air Sungai Chepir melimpah ke beberapa kawasan kediaman.
“Antaranya Kampung Kemelong dan Kampung Titi Semang, namun tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka setakat ini,” jelasnya.
Justeru katanya, anggota APM diarahkan bersiap siaga dan melakukan pemantauan khususnya di kawasan berhampiran sungai bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin, berikutan keadaan masih hujan di daerah itu.
Sementara maklumat terkini yang dimuat naik di laman sosial APM Daerah Sik, keadaan Pekan Sik dan Kampung Kemelong berada dalam keadaan bahaya, manakala Kampung Jerai berada dalam keadaan waspada.
Justeru penduduk di hilir sungai diminta bersiap sedia untuk berpindah sekiranya perlu. – HARAKAHDAILY 17/9/2024











