Konvoi Motosikal ‘Jiwa Merdeka Tanpa Dadah’

- Advertisement -

KANGAR: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Perlis Selatan dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Bintong telah menganjurkan konvoi motosikal ‘Jiwa Merdeka Tanpa Dadah’.

- Advertisement -

Penganjuran program ini adalah sebagai sebahagian daripada intervensi dan usaha berterusan untuk memerangi penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Lebih daripada 30 peserta yang terdiri daripada anggota AADK, wakil Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR)  serta masyarakat umum terlibat dalam konvoi yang berlangsung di sini kelmarin.

Konvoi bermula di PKWR Bintong dan berakhir di Masjid Al Ghufran, Batu 2 Lama.

Laluan konvoi ini meliputi beberapa lokasi strategik, termasuk Masjid Abi, Masjid Nesam, Masjid Teluk Jambu, Masjid Wang Besar dan Majis Behor Empiang.

Selain meningkatkan kesedaran mengenai bahaya dadah, program ini turut melibatkan lawatan ke rumah dua pelanggan AADK di Kurung Batang dan Nesam.

Kedua-dua mereka telah berjaya pulih daripada ketagihan dan kini bebas dadah di bawah pengawasan AADK.

Sumbangan diberikan kepada mereka sebagai tanda sokongan masyarakat terhadap proses pemulihan mereka.

ADUN Bintong, Ustaz Fakhrul Anwar Ismail berkata, aktiviti itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menyokong kempen pencegahan dadah melalui pendekatan lebih menarik serta melibatkan masyarakat setempat.

“Kami berharap inisiatif seperti ini dapat memberi impak besar serta menggalakkan masyarakat untuk terus bersatu dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.

“Program ini juga diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih banyak usaha pencegahan pada masa akan datang,” katanya.

Penganjur berharap aktiviti seperti ini akan terus dianjurkan sebagai sebahagian daripada kempen yang lebih besar untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat dan melindungi mereka daripada ancaman dadah. – HARAKAHDAILY 17/9/2024

- Advertisement -