
TEMERLOH: Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa yakin bahawa PAS adalah pilihan yang tepat untuk memimpin ummah di Malaysia, terutama selepas kegagalan Umno untuk mempertahankan sokongan rakyat.
Beliau berkata, PAS kini telah jauh ke hadapan sebagai badan politik tanah air, dan menegaskan bahawa parti itu mempunyai sejarah perjuangan yang konsisten serta kepimpinan yang teguh dalam menghadapi cabaran besar.
Annuar turut berkongsi pengalamannya menyaksikan kejatuhan Umno, meskipun parti tersebut mempunyai dana kewangan yang kukuh dan jutaan ahli.
“Umno jatuh sewaktu mereka berkuasa, sewaktu dana kewangan paling banyak, namun mereka tersungkur kerana mengalami krisis keyakinan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, PAS adalah parti yang konsisten dalam perjuangannya, dengan ahli yang berpegang teguh kepada prinsip dan dasar Islam.
Menurutnya, kemenangan dan kekalahan PAS dalam pelbagai episod pilihan raya harus dijadikan iktibar, merujuk kepada Perang Badar sebagai panduan kemenangan dalam keadaan lemah, serta kekalahan dalam Perang Uhud yang berpunca daripada kurangnya wala’ dan kepentingan harta ghanimah.
Annuar turut memuji jentera pilihan raya PAS, yang disifatkannya sebagai lebih tersusun dan kemas berbanding parti-parti lain yang pernah beliau sertai sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau turut memberi penghargaan kepada Dewan Muslimat, khususnya dari segi culaan dan komitmen mereka sebagai petugas yang cemerlang dalam pilihan raya.
Bekas Setiausaha Agung Umno itu juga mengajak masyarakat pelbagai kaum untuk menyertai PAS, merujuk kepada pindaan perlembagaan parti yang membuka pintu luas kepada keahlian bersekutu dan menolak sebarang unsur asabiyah.
Beliau menyeru agar Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) membuka lebih banyak ruang untuk pelbagai kaum, sebagai simbol transformasi besar PAS yang melangkaui batasan perkauman.
Beliau menutup ucapannya dengan keyakinan bahawa 14 September akan menjadi saksi transformasi PAS yang jauh ke hadapan berbanding parti-parti lain, dengan Dewan As-Sabiqun sebagai kekuatan hadapan perjuangan, bersama-sama lima dewan lain yang menjadi tonggak PAS. – HARAKAHDAILY 15/9/2024











