
Ucapan Penggulungan Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 1446 Hijrah/2024 Masihi
Sheikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi RH, salah seorang tokoh ulama’ terkenal di India, bahkan di seluruh dunia, yang disanjung oleh saudara kumpulan dakwah Jemaah Tabligh kerana ilmunya yang tinggi dan sifat zuhud dan wara’, serta terkenal dengan istiqamahnya dalam amar makruf dan nahi munkar, sangat aktif di masa hayatnya.
Saya pernah berusrah bersamanya ketika masih pelajar. Almarhum menghadiahkan kepada saya beberapa buku dan ucapannya yang dicetak, antaranya sebuah buku yang menegaskan aspek politik, bahawa dalam Islam dibahagikan dua jenis kerajaan.
Pertama: Kerajaan Hidayah mengikut petunjuk Allah yang menjadi iman atau aqidah para pemimpinnya, berpandukan firman Allah SWT, maksudnya: “Dan Sesungguhnya Kami telah berikan kepada Musa al-Kitab (Taurat), maka janganlah kamu (Muhammad) ragu menerima (al-Quran itu) dan Kami jadikan al-Kitab (Taurat) itu petunjuk bagi Bani Isra’il. (23) Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar. Dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami. (24) Sesungguhnya, Tuhanmu Dialah yang memberikan keputusan antara mereka pada hari kiamat tentang apa yang selalu mereka perselisihkan padanya. (25)” (Surah al-Sajdah: 23-25)
Ayat ini menceritakan pengikut setia Nabi Musa AS yang beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan Kitab yang diwahyukan adalah hidayah (petunjuk) yang wajib diamalkan. Walaupun banyak cabaran yang datang daripada kaumnya sendiri dan musuh agama Allah, namun mereka tetap bersabar tidak menyerah kalah dengan keyakinan pasti selamat di dunia sehingga akhirat yang pasti akan menang.
Kedua: Kerajaan Jibayah menjadikan hasil harta rukunnya yang menjadi keutamaan dan matlamat segala amalan, berpandukan firman Allah yang menceritakan sikap para pemimpin Makkah yang menentang Rasulullah SAW:
“Dan mereka berkata, “Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami. Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka dalam daerah Tanah Haram (Tanah Suci Makkah) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada pelbagai jenis (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-Qasas: 57)
Allah menceritakan para pemimpin Makkah yang menolak Islam walaupun mereka mengetahui benarnya Rasulullah SAW, paling amanah dan bijak, namun kerana takut terhadap ancaman musuh yang menentang Islam dan menyusahkan kehidupan serta tiada keamanan dan keselamatan hidup kerana semua manusia berada dalam keadaan jahiliah dan zalim yang tidak menerima Islam.
Aspek ekonomi (sumber harta) menjadi rukun pertama golongan jibayah tanpa mengira halal dan haram kerana tujuannya mencari kesenangan dunia sahaja tanpa wawasan akhirat iaitu janji benar daripada Allah.
Tujuannya juga mencari keredaan manusia walaupun perkara itu salah dan mendapat kemurkaan Allah. Maka, kerajaannya melanggar sempadan agama demi mendapat hasil kewangan negara. Akhirnya, mereka itu pasti kalah merudum.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang mencari keredaan Allah walaupun dimarahi oleh manusia, nescaya Allah meredainya dan Allah menjadikan manusia meredainya. Sesiapa yang mencari keredaan manusia sahaja walaupun dimurkai oleh Allah, nescaya Allah memurkainya dan Allah menjadikan manusia memarahinya.” (Riwayat Ibn Hibban, No. 276, daripada ‘Aishah)
Adapun konsep Kerajaan Hidayah diambil iktibar daripada sekumpulan Bani Isra’il yang insaf, setelah mereka tenggelam dalam jahiliah politik harta dan akibatnya menjadi hina apabila dijajah.
Perkara ini didedahkan oleh Allah kerana mereka menolak pemimpin yang ditunjuk oleh Nabi mereka, iaitu cadangan seorang pemimpin yang berilmu dan berkemampuan memimpin dengan wahyu daripada Allah. Sebagaimana yang dinyatakan oleh firman-Nya yang bermaksud: “Nabi mereka mengatakan kepada mereka, ‘Sesungguhnya, Allah telah mengangkat Talut menjadi rajamu’. Mereka menjawab, ‘Bagaimana Talut memerintah kami, padahal kami lebih berhak mengendalikan pemerintahan daripadanya, sedang dia pun tidak diberikan kekayaan yang cukup banyak?’ Nabi (mereka) berkata, ‘Sesungguhnya, Allah telah memilih rajamu dan menganugerahinya ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa’. Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas pemberian- Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 247)
Hanya sekumpulan kecil sahaja yang menolak politik harta dengan sabar menghadapi kesusahan. Adapun sebahagian besar daripada mereka meletakkan harta menjadi syarat memilih pemimpin.
Kumpulan yang kecil meneruskan perjuangan berprinsipkan aqidah beriman kepada Allah dan janji-Nya, bersedia dengan penuh kesabaran menghadapi kesusahan dalam perjuangan kerana menegakkan petunjuk Allah dalam kitab Taurat, tegas melaksanakan perintah Allah melakukan amar ma‘ruf dan nahi munkar walaupun ditentang oleh semua pihak.
Namun, akhirnya tetap menerima calon yang memenuhi sifat-sifat yang ditetapkan oleh Allah kepada sesiapa yang menubuhkan kerajaan dan dijanjikan pertolongan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal- amal yang soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang- orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya untuk mereka, dan Dia benar- benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah al-Nur: 55)
Kerajaan yang ditetapkan ciri-cirinya oleh Allah dengan pertolongan-Nya, yang bermaksud: “Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis antara mereka. (40) Allah berfirman, ‘Ini adalah jalan yang lurus, kewajipan Akulah (untuk menjaganya)’.” (Surah al-Hijr: 40-41)
Al-Quran menceritakan Bani Isra’il yang dijadikan khilafah iaitu Nabi Daud AS dan kerajaan beraja iaitu Nabi Sulaiman AS. Kedua-duanya berada di bawah perlembagaan dan undang- undang.
Junjungan kita, Nabi Muhammad SAW berjaya meninggalkan pusaka ilmu kerajaan berkonsepkan khilafah dan berkonsepkan Raja Berperlembagaan yang menakluk dunia yang adil kepada semua, apabila semuanya berada di bawah kawalan perlembagaan dan undang-undang yang juga bersifat adil kepada semua.
Sehingga kedatangan Islam di seluruh dunia dinamakan Futuhat Islamiyyah (pembuka yang menyelamatkan umat manusia), bukannya penjajah yang memperhamba sesama manusia dan perompak hartanya.
Maka, Rasulullah SAW menolak tawaran Kerajaan Madani jibayah walaupun Baginda ditawarkan menjadi pemimpin atau rajanya. Perkara ini ditegaskan, yang bermaksud: “Wahai bapa saudaraku, demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku supaya aku meninggalkan urusan (Islam) ini, aku akan teruskan sehingga dimenangkan oleh Allah atau aku mati dahulu, nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini!” (Ibn Hisham, al-Sirah al-Nabawiyyah, Jld. 1, Hlm. 266)
Dan tetap percaya bersabar kepada janji Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya, Allah benar- benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj: 40-41)
Maka, Kerajaan Hidayah tetap menegakkan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, malah tetap menjaga sempadan halal dan haram, walaupun ditentang oleh musuh yang ramai. Sehinggakan, terpaksa menghadapi tekanan dalam negara dan luar negara yang menyusahkan kehidupan sementara waktu, walaupun tidak diketahui tempoh masanya, namun tetap beristiqamah bersama Islam.
Adapun Kerajaan Jibayah pula, tetap menjadikan harta rukunnya yang pertama tanpa mengira halal atau haram, betul atau salah.
Terpentingnya, ada sumber ekonomi daripada semua pihak sama ada dalam negeri, termasuk melalui rasuah, judi dan segala jenis maksiat, termasuk pergantungan kepada penjajahan ekonomi melalui negara asing, Bank Dunia (World Bank), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Blackrock dan lain-lain.
Kerajaannya penakut dan tidak istiqamah kerana mencari keredaan manusia bukan keredaan Allah.
Banyak negara yang diisytiharkan kemerdekaannya pada namanya sahaja, tetapi hatinya tetap bergantung kepada penjajah. Inilah yang memerintah negara kita sekarang.
Maka, PAS menolak tawaran Memorandum Persefahaman (MoU) oleh kerajaan berjenama madani yang tidak mengikut sifat tabii sebenar mengikut amalan demokrasi yang menepati ajaran Islam. Demikian itu disebabkan Islam mewajibkan adil kepada semua dan tidak berbohong apabila mengadakan perjanjian.
Kerajaan Negeri Terengganu dibatalkan perjanjian royaltinya, manakala Kerajaan Kelantan pula dinasakhkan perjanjian royaltinya. Adapun Kedah dan Perlis hanya ada minyak gamatnya sahaja.
Kerajaan Pusat sepatutnya menguji kemampuan empat kerajaan negeri dengan memberi peluang kepada masing-masing untuk mengurus dan mentadbir sendiri.
Kita meminta dengan cara damai dan baik berkonsepkan federalisme, amalan demokrasi sebenar yang adil dan tidak berlaku zalim, tidak berbohong dan tidak mengkhianati perjanjian dengan semangat cintakan negara berkonsep perpaduan yang sebenar walaupun berbeza ideologi dan agama.
Kita ke Sabah melawat Papar,
Singgah minum air tebu,
Kita sabar menahan lapar,
Bukan marahkan nyamuk membakar kelambu.
Selepas minum ikan dibakar,
Bila masak kita makan,
Teguh Malaysia tidak dibakar,
Tanah air ini tetap dicintakan.
Banyak lagi dalil-dalil yang nyata mengapa Parti Islam Se- Malaysia (PAS) tidak menyertai kerajaan yang bernama perpaduan yang hakikatnya tidak berisi perpaduan dan Kerajaan Madani yang masih mentah amalannya dan tidak mempunyai ramuan yang nyata halalnya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya, yang halal itu terang dan nyata dan haram juga terang dan nyata. Di antara kedua-duanya terdapat perkara syubhah (yang mengelirukan halal dan haramnya) yang tidak diketahui oleh ramai. Maka, sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhah itu bermakna dia menjaga maruah dan agamanya. Sesiapa yang jatuh dalam perkara syubhah itu, bermakna dia jatuh ke dalam perkara haram. Laksana penggembala ternakan yang membawa ternakannya menghampiri sempadan kawasan larangan. Sesungguhnya, setiap pihak yang berkuasa ada sempadannya dan sempadan Allah itu ialah perkara yang diharamkan. Ingatlah bahawa dalam jasad manusia itu ada segumpal daging kalau baik maka baiklah jasadnya dan kalau buruk maka buruklah jasadnya, segumpal daging itu ialah jantungnya.” (Riwayat al-Bukhari, No. 2051 dan Muslim, No. 1599, daripada al-Nu‘man bin Bashir)
Tetap memilih makanan roti,
Walau masin banyak garam,
Tetap terima fatwa mufti,
Babi disembelih tetap haram.
Buah durian buah Malaysia,
Bila masak gugur mendatang,
Kerajaan Madani banyak sia-sia,
Kalau tak sabar rebah melentang.
Ada yang menyebutkan perkara dalaman dalam Muktamar tanpa berpandukan adab menasihati dan ikhtilaf (adab berbeza pendapat).
Kita mesti menyedari adanya kelemahan yang berlaku di negeri yang telah diperintah dan di kawasan yang menang, ada kelemahan wakil rakyat.
Kita mesti beriman bahawa yang sempurna hanya Allah sahaja. Adapun makhluk-Nya termasuk para anbiya’, khulafa’ termasuk para pemimpin dan jemaah mengalami kelemahan bahkan kesilapan.
Kata syair Arab, maksudnya: “Apabila sudah selesai sesuatu kerja, tampak kekurangannya; tunggulah saat kemusnahannya, apabila mendabik dada semuanya sudah sempurna.”
Baru sehari rumah siap, mesti ada pihak yang tidak berpuas hati lalu menyuruh agar dirobohkan dan dibina semula. Kerjanya tiap-tiap hari meroboh rumah apabila telah siap kerana ada kekurangan, atau menjual rumah itu. Lalu kita tidur di padang kerana tidak mempunyai rumah kerana tidak berpuas hati terdapat kekurangannya. Adakah ini cara yang bijak?
Baru sahaja memenangi pilihan raya tidak sampai sebulan, lalu disuruh agar ditukar wakil rakyat, anggota Exco malah Menteri Besar. Ini suatu kerja yang tidak berdisiplin.
Kadangkala, perkara yang kecil kerana wakil rakyat tidak datang ke rumahnya lalu ia dijadikan suatu masalah. Dalam kelemahan yang membawa kesilapan, ada perkara dasar dan juga perkara cabang.
Jika para rasul melakukan kesalahan, ia menjadi sebab diwahyukan ayat-ayat Allah. Adapun kita yang bukan rasul diajar tentang adab ikhtilaf dan berbeza pendapat termasuk adab memberi nasihat bagi membetulkan kesilapan.
Sekiranya tidak memahami adab berjemaah, maka perkara ini boleh menimbulkan krisis dalaman parti. Maka, Islam mengajar adab ikhtilaf, maksudnya: “Antara adab perselisihan pendapat yang dibenarkan oleh syariat Islam dan diterima oleh fitrah manusia, adalah menghormati orang yang membantah, bersangka baik terhadapnya, dan menyapanya dengan kata-kata dan ungkapan yang baik. Ini sebagaimana pendekatan kalangan Salafus Soleh apabila berlaku perselisihan faham. Maka, yang menjadi sikap mereka, ‘Boleh jadi pendapat saya betul dan boleh jadi juga salah, dan boleh jadi pendapat lawan saya salah dan boleh jadi juga betul.”
Al-Quran mengajar kita semua pihak dalam jemaah tetap menjadi kawan. Sekiranya berada dalam kerajaan pula menjadi penasihat.
Jangan ada dalam kalangan PAS yang jadi pembangkang dalam kerajaan sendiri. Tidak sedar bahawa dirinya sudah menjadi kerajaan. Lalu bertindak melawan kerajaan dan wakil rakyat sendiri, bahkan melawan Menteri Besar sendiri dan menjatuhkan kerajaan sendiri.
Walaupun ada kesalahan dan kesilapan yang berlaku, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya.” (Riwayat al-Bukhari, No. 2442 dan Muslim, No. 2699, daripada Abu Hurairah)
Dan sepatutnya dilaporkan kepada orang yang menjadi Ulul Amri dalam jemaah, yang akan menentukan adakah perkara itu benar atau salah. Kadang-kadang, ia hanyalah merupakan suatu tuduhan daripada pihak musuh atau orang luar yang berbohong. Mesti dilakukan tabayyun oleh pihak yang menyelesaikan masalah.
Para pemimpin atasan diminta agar terlebih dahulu bertindak tabayyun apabila adanya sesuatu tuduhan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seseorang yang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat: 6)
Khalifah ‘Umar menerima tuduhan terhadap Sa‘ad bin Abi Waqqas RA kononnya beliau tidak menjalankan tugas dengan betul. Sehinggakan, dipanggil Sa‘ad agar pulang ke Madinah, walaupun ‘Umar RA sendiri tidak percaya dengan tuduhan itu. Orang yang membuat fitnah terkena kesan doa Sa‘ad bin Abi Waqqas dalam usia yang panjang.
Umat Islam menghadapi fitnah yang paling dahsyat pada zaman Khalifah ‘Uthman RA sehingga baginda dibunuh oleh kalangan mereka yang tidak berpuas hati dengan pemerintahannya.
Timbul cerita yang terkenal kononnya ‘Amru bin al-‘As RA menipu Abu Musa al-Asy‘ari RA, cerita ini dimasukkan dalam kitab yang dikarang bahawa para sahabat menipu sesama mereka.
Allah SWT memberi jaminan kejayaan para sahabat generasi awal dalam tarbiah.
Saya membuat kajian dan dibukukan tentang Khalifah ‘Uthman RA, bukannya kelemahan Khalifah ‘Uthman RA tetapi kelemahan rakyat yang baru sahaja masuk Islam yang ramai jumlahnya. Sahabat yang sebaya pula ramai yang telah wafat atau tinggal berjauhan kerana tugas menjaga wilayah Islam yang semakin luas.
Pihak musuh yang menjadi syaitan pula berjaya mencipta masalah dan tuduhan yang bohong atau yang kecil lalu direka cipta menjadi besar, sehingga menjadi fitnah dan Khalifah ‘Uthman RA yang disegani oleh malaikat itu pula dibunuh.
Apabila ditanya kepada Khalifah ‘Ali KW, mengapa terjadi begini. Maka, Khalifah ‘Ali KW menjawab bahawa pada zaman Abu Bakar dan ‘Umar, rakyatnya seperti aku. Sedangkan pada zaman aku pula, rakyat seperti kamu.
Apa yang berlaku ialah adanya syaitan yang cuba menembusi saf umat Islam yang merosakkan mereka daripada dalam. Rasulullah SAW memerintahkan umatnya agar bersikap fleksibel dalam perjalanan perjuangan Islam dengan sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya, (kadang-kadang) Allah menolong agamanya dengan orang yang jahat (apabila orang yang baik tetapi penakut atau tidak bijak).” (Riwayat al-Bukhari, No. 6606, daripada Abu Hurairah)
Maka, Imam al-Mawardi RH menetapkan kepimpinan sesuai dengan keadaan yang mencabar.
PAS Pusat menubuhkan sebuah jawatankuasa pemandu yang bertindak menangani masalah-masalah yang telah ditimbulkan. Jangan menjadikan media umum sebagai hakim yang menjatuhkan hukuman. Jangan sekali-kali menjadikan kelemahan yang berlaku untuk menjatuhkan kerajaan sendiri, sebaliknya hendaklah diperbetul.
PAS ialah sebuah parti Islam, bukan parti pasar malam boleh menukar pemimpin seperti menukar barangan yang murah.
PAS mempunyai jawatankuasa disiplin yang menjaga semua supaya berdisiplin. Rasulullah SAW mengajar disiplin melaksanakan amar ma‘ruf dan nahi munkar dalam berjemaah. Sabdanya yang bermaksud: “Bandingan kalangan yang menegakkan sempadan Allah (mencegah kemungkaran) dan kalangan yang melakukan kemungkaran laksana mereka diundi kedudukannya di atas sebuah bahtera (kapal). Ada yang dipilih berada di atas dan ada yang diletakkan di bawah. Apabila kalangan yang berada di bawah memerlukan air, melalui kalangan yang berada di atas. Lalu mereka berkata, ‘Ambillah jalan mudah, kalau ditebuk sahaja kapal ini, tidak bersusah payah terhadap kalangan yang berada di atas. Kalau dibiarkan mereka melakukan kemahuannya nescaya semuanya binasa tenggelam. Kalau dicegahnya bertindak begitu selamatlah semuanya.” (Riwayat Al-Bukhari, No. 2493, daripada al-Nu‘man bin Basyir)
Jagalah adab menasihati dan adab ikhtilaf (berbeza pendapat) dalam jemaah.
Bukan semua masalah boleh disebutkan dalam muktamar, ada yang perlu disebut dalam usrah bukan muktamar, ada yang perlu dilaporkan bukan pula diusrahkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila datang kepada mereka suatu berita tentang keamanan ataupun ketakutan, lalu mereka (terus) menyiarkannya. Padahal kalau mereka menyerahkannya kepada Rasul dan Ulil Amri antara mereka, tentulah hal itu diketahui oleh orang- orang yang ingin mengetahui kebenarannya (akan dapat) mengetahuinya daripada mereka (Rasul dan Ulil Amri). Dan jika tidak disebabkan kurniaan dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu mengikuti syaitan, kecuali sebahagian kecil sahaja (antara kamu).” (Surah al-Nisa’: 83)
Ada kalangan yang percaya kepada berita syaitan dan menyebarkannya atau digoda oleh syaitan supaya bertindak dengan cara yang merosakkan.
Inilah hikmah apabila kita mengakhiri setiap perjumpaan dengan membaca firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi masa! (1) Sesungguhnya, manusia itu benar- benar dalam kerugian. (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta mereka pula nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” (Surah al-‘Asr: 1-3)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 11 Rabi‘ul Awwal 1446 / 15 September 2024 – HARAKAHDAILY 15/3/2024











