DHPP rasa beruntung bernaung di bawah PAS

Balasubramaniam Nachiappan
- Advertisement -

TEMERLOH: Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP), Balasubramaniam Nachiappan meluahkan rasa beruntungnya semua ahli DHPP bernaung di bawah PAS.

Menurutnya, DHPP yang tertubuh hampir 20 tahun ini, bukanlah sebuah parti yang wujud berdasarkan ideologi manusia tetapi berlandaskan agama Islam yang menganjurkan keadilan kepada semua pihak.

Tambahnya, cetusan kewujudan DHPP telah lama dibangkitkan di dalam PAS tetapi ia ditangguhkan ideanya kerana kekacauan politik Melayu sekitar 3 Oktober 1956 sehingga 3 Disember 1961.

- Advertisement -

“Setelah DHPP melalui pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan, DHPP telah matang untuk berdiri sama tinggi dan berdiri sama rendah dengan posisi parti politik yang lain.

“Tahun ini juga, tanpa dijangka sudah 20 tahun, DHPP masih ahli bersekutu PAS,” katanya pada sesi penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa PAS sentiasa mengingatkan DHPP untuk berbuat baik dan jangan buat sebaliknya yang bertepatan dengan kalam Allah dalam Surah Al-Maidah, ayat 2, yang bermaksud: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran”.

Selain itu juga, beliau turut berterima kasih kepada pembahas daripada PAS Perak, Negeri Sembilan dan Selangor yang menyentuh tentang keperluan DHPP bagi memperhebat usaha orang bukan Islam dalam mendekati PAS.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pembahas dan bersama-sama melaksanakan tanggungjawab dan tugas terhadap isi yang dibangkitkam oleh muktamar PAS hari ini,” katanya.

Beliau juga berkata, ada dua perkara yang ditegaskan dalam Konvensyen DHPP pada 8 September lalu bagi sentiasa berkomitmen dan komited dalam menjadi sayap PAS.

Pertama, ujarnya semua isu yang dikaitkan oleh musuh PAS sama ada Melayu atau bukan Melayu, mestilah diberi penerangan secara serius dan tersusun.

“Semua perwakilan DHPP perlu memperkasakan platform media penerangan dengan mengadakan podcast, ceramah atas talian (online), TikTok dan meramaikan pempengaruh (influencer) untuk mendekatkan hati rakyat.

“Usaha ini semua perlu dilakukan bersungguh-sungguh dan berhati-hati,” katanya.

Seterusnya, kata beliau semua perwakilan DHPP perlu mengkaji selidik masyarakat luar untuk mengenalkan DHPP supaya mendapatkan cadangan dan pendapat.

“Semestinya, kita akan diherdik dan dihina tetapi hikmahnya, kita berpeluang memperbaiki diri dan juga organisasi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/9/2024

- Advertisement -