
TEMERLOH: Islam bukanlah agama yang hanya tertumpu kepada wajibnya ibadah solat dan puasa, tetapi merangkumi semua aspek kehidupan seperti ekonomi, tadbir urus dan politik.
Perwakilan PAS Melaka, Mohd Norfaizal Nordin berkata, dalam setiap aspek kehidupan termasuk berpolitik, wajib merujuk dan kembali kepada hukum Allah kerana setiap hukum dan perintah yang diturunkan kepada manusia telahpun lengkap merangkumi semua perkara.
“Islam menyediakan rangka-rangka politik yang lengkap berdasarkan prinsip keadilan, kebenaran dan kesejahteraan sejagat. Sebagaimana contoh zaman Kesultanan Melayu Melaka, yang menjadi Kanun Melaka berteraskan syariat Islam sebagai dasar pentadbiran menjadikan Melaka masyhur.
“Dari segi perekonomian, perpaduan kaum dan pusat dakwah. Salah satunya daripada Sultan mereka iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah yang bertaraf mufti,” katanya ketika membahas Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, di sini.
Tambah beliau, masih terdapat pihak-pihak di luar sana terpengaruh dengan politik berasaskan Islam liberal yang merupakan satu aliran pemikiran cuba melonggarkan peraturan syariah agar lebih sesuai dengan pandangan moden.
“Aliran ini memperkenalkan idea-idea yang mengasingkan politik daripada syariat dan lebih mengutamakan akan manusia daripada wahyu Ilahi.
“Mereka berpendapat bahawa hukum-hukum Islam perlu ditafsirkan semula semudahnya mengikut keadaan masa tanpa mempedulikan batasan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
“Dalam politik, pemikiran Islam liberal ini sering membawa kepada penerimaan sistem politik sekular, di mana sistem syariah tidak lagi menjadi asas dalam membuat dasar kenegaraan, melonggarkan pergaulan, menggalakkan hiburan, menghalalkan hubungan luar tabii.
“Cenderung kepada pembukaan aurat, cenderung kepada ekonomi riba, yang paling kita pelik dengan kerajaan yang ada iaitu menafikan kepimpinan ulama,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2024











