
TEMERLOH: Gabungan empat kerajaan negeri (SG4) yang ditubuhkan dilihat sangat menggerunkan kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Perwakilan PAS Kedah, Ustaz Salim Mahmood berkata, perkara itu tidak perlu digeruni dan dibimbangkan kerana gabungan itu amat ikhlas dalam membantu kerajaan
“Kami dizalimi dan dinafikan hak kami akan tetapi kami yakin Allah akan membantu negeri-negeri kami yang sedang dibuli dan dizalimi,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden PAS pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM148.2 juta setahun milik rakyat itu dinafikan oleh Kerajaan Pusat apabila peruntukan Ahli Parlimen di empat negeri tidak diberikan.
Menurutnya, PAS mempunyai potensi dan kekuatan yang perlu digemblengkan dan disatukan supaya ia menjadi satu ketumbukan dan kekuatan dalam membangunkan SG4 itu.
Antara kekuatan itu menurutnya adalah kepimpinan utama negeri yang pakar dalam pelbagai bidang iaitu ulama, teknokrat, pendidikan, tokoh serta aktivis masyarakat.
Terang beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Kedah, negeri itu bersedia untuk menjadi sebagai penarik pelaburan kepada semua negeri SG4.
“Di Kedah, pelaburan 2020 sehingga suku pertama 2024 ialah sebanyak RM142 bilion nilai yang tidak pernah diatasi sepanjang tahun.
“Terdapat pelbagai faktor kejayaan dalam menarik pelabur ini, yang pertamanya lokasi yang strategik, infrastruktur yang sempurna, dasar kerajaan mesra pelabur,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











