
TEMERLOH: Krisis nilai adalah penyakit yang sedang menyerang umat Islam hingga ke dasarnya iaitu aqidah yang merosakkan secara keseluruhan di dalam Islam dan umatnya.
Pembahas PAS Selangor, Sabirin Marsono, berkata krisis itu umpama kanser di dalam tubuh manusia yang berkembang senyap tanpa disedari akan simptom di awalnya.
“Akan tetapi ia memberi kesan yang kebanyakannya membawa kepada kematian,” katanya ketika mengmbil bahagian dalam perbahasan ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan PAS ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, berkata Islam sebagai ad-din yang merupakan penyelesaian kepada masalah umat manusia.
“Gerak kerja jemaah mesti diolah secara khusus dan fokus kepada penyelesaian krisis nilai ini secara segera.
“Oleh kerana, inilah faktor besar yang menghalang kita daripada mencapai objektif perjuangan PAS sebagaimana di dalam Fasal 5.1 dan 5.2 dalam Perlembagaan PAS,” katanya.
Oleh demikian, PAS Selangor melihat Islam sebagai penyelesaian kepada krisis nilai dari tiga sudut perjuangan PAS iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah.
“Tarbiah iaitu kekuatan asas jemaah Islam mesti dibina melalui usrah, tamrin, liqa’ fikri, kuliyah haraki, P12k Ansarullah. Seterusnya, dakwah dengan memperkenalkan semula slogan ‘PAS For All’.
“Oleh demikian, PAS Selangor mengharapkan agar Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dalam konteks ini untuk memperkasakan dan berperanan dalam mendukung dan melaksanakan slogan ini.
“Selain itu, PAS perlu dominan peranannya di dalam usaha penyatuan ummah untuk menbina kekuatan memimpin dan menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Justeru, beliau berkata, akidah perjuangan dan objektif PAS adalah jelas dengan strategi dan taktik yang tepat serta tindakan yang bersinergi dan ia terbukti bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah yang ada pada hari ini. – HARAKAHDAILY 14/9/2024











