Lelaki perlu bersama dalam perjuang isu wanita

- Advertisement -

TEMERLOH: Perwakilan Ameerah, Dr Siti Aminah Muhammad Imran menekankan perlunya lelaki turut serta memperjuangkan isu berkaitan wanita, terutamanya dalam hal keselamatan dan perlindungan mereka.

- Advertisement -

Menurutnya, PAS telah lama memegang nilai-nilai Islam yang kukuh dan mempunyai sistem sokongan mantap, namun masyarakat luar masih berdepan pelbagai cabaran, termasuk keganasan seksual.

Siti Aminah menyatakan bahawa kebanyakan kes keganasan seksual di Malaysia melibatkan pemangsa yang dikenali oleh mangsa, sama ada ahli keluarga atau sahabat.

“Mereka yang sepatutnya menjadi pelindung kepada wanita, tetapi berlaku sebaliknya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa lelaki tidak seharusnya membiarkan wanita berjuang sendirian dalam isu-isu berkaitan wanita.

“Lelaki perlu berganding bahu bersama Muslimat apabila berhadapan dengan isu wanita. Ini adalah tanggungjawab bersama,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap masalah sosial yang melibatkan golongan belia di mana semakin jauh dari ajaran Islam.

Beliau menyeru agar PAS lebih proaktif dalam memimpin masyarakat kembali kepada nilai-nilai Islam.

“Kita perlu membawa rakyat kembali peduli antara satu sama lain dan Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah ini,” katanya.

Ameerah juga mengkritik sikap kerajaan dalam isu logo Halal, dengan menyatakan bahawa mereka terlalu berlapang dada dalam perkara tersebut.

Dr Siti Aminah mengakhiri ucapannya dengan menyeru seluruh rakyat, terutama PAS, untuk terus memperjuangkan Islam sebagai panduan utama dalam menangani cabaran semasa. – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -