Iltizam PAS terus bertapak di Bumi Kenyalang

- Advertisement -

TEMERLOH: Kemenangan empat negeri yang diperolehi PAS dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, perlu dibuat lonjakan ke negeri-negeri yang berpontensi.

- Advertisement -

Perwakilan PAS Negeri Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo berkata, ini kerana telah terbukti PAS bukan sahaja mampu mentadbir negeri, bahkan juga diyakini mampu menerajui Putrajaya.

“Kemenangan yang telah dicapai di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, menunjukkan PAS bukan hanya layak menjadi pembangkang, sebaliknya mampu membangun serta melaksanakan kemajuan di negeri yang diterajuinya,” tegasnya.

Beliau berucap demikian dalam usul terima kasih dan perbahasan menyokong Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali ke 70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

Arif juga berkata, kejayaan dan kemajuan negeri-negeri ditadbir PAS dan PN, secara tidak langsung akan mempengaruhi pengundi di Sabah dan Sarawak.

“Justeru kami di Sarawak juga beriltizam, walau dilihat kecil dan kerdil, tetapi kami memiliki jiwa besar, komited memastikan PAS terus bertapak dan maju di Sarawak.

“Kalau dahulu pada 2006, Sarawak hanya memiliki dua buah PASTI tetapi sekarang, kami sudah berjaya tubuhkan 60 buah PASTI serta menubuhkan dua buah SRITI.

“Sarawak juga negeri terawal menubuhkan SRITI berbanding negeri-negeri lain,” jelas beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Sarawak.

Sementara, perwakilan PAS Kawasan Miri itu juga mengingatkan sidang muktamar yang mengambil perhatian kepada pesanan Tuan Guru Presiden agar tidak merasa selesa dengan kedudukan diperolehi kini.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menyarankan agar setiap ahli dan pemimpin berperanan melaksanakan tanggungjawab dan memastikan Islam yang dicintai ini dapat diterjemahkan, – HARAKAHDAILY 14/9/2024

- Advertisement -