Tiada parti lahirkan petugas Muslimat sehebat PAS

Muslimat calon pilihan raya berdasar keperluan setempat

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS terbukti menjadi satu-satunya parti paling berjaya melahirkan petugas Muslimat yang berkhidmat dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang bayaran atau balasan.

- Advertisement -

Perkara tersebut dapat disaksikan apabila petugas Muslimat PAS komited turun padang menyantuni pengundi di setiap kawasan, memberi perkhidmatan kepada masyarakat dengan penuh dedikasi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor menyatakan kekagumannya terhadap komitmen Muslimat PAS ketika berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) Ke-64 di Kompleks Al Makmur, Kerdau, di sini hari ini.

“Kalau tengok masa musim pilihan raya, Muslimat PAS keluar pagi balik petang, muslimin tak buat kerja macam ni.

“Kalau ada pengundi yang disantuni marah mereka, besok depa mai lagi, tukar baju saja, payung yang sama,” katanya, menggambarkan semangat juang Muslimat yang tidak mudah luntur walau berdepan cabaran.

Dato’ Seri Sanusi juga menzahirkan rasa syukur dan penghargaan kepada para muslimat yang banyak berkorban, termasuk mereka yang telah pulang ke rahmatullah selepas menabur bakti dengan penuh dedikasi.

Beliau menyatakan bahawa pengorbanan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dengan masyarakat, tetapi juga membuktikan keupayaan kepimpinan Muslimat PAS yang luar biasa.

Sejarah PAS, yang membenarkan wanita menjadi calon sejak tahun 1950-an, turut disebut oleh Sanusi sebagai satu langkah yang selari dengan pandangan para ulama.

“Keputusan ini kekal relevan dan terus menjadi sebahagian daripada strategi politik PAS dalam era moden.

“Muslimat adalah tulang belakang jentera pilihan raya PAS. Tenaga dan kerajinan mereka sering kali mengatasi petugas lelaki dalam pelbagai tugas kempen,” tambahnya.

Muslimat calon pilihan raya

Sementara itu dalam sidang media selepas majlis itu, PAS jelasnya bersikap terbuka dalam meletakkan calon wanita untuk bertanding di mana-mana kawasan pilihan raya, berdasarkan keperluan dan kesesuaian setempat.

Menurutnya, PAS tidak menetapkan kuota tetap untuk calon wanita, tetapi memberikan peluang kepada mereka berdasarkan keupayaan dan keperluan kawasan tersebut.

“Calon muslimat sentiasa terbuka, tak ada kuota apa-apa. Jika ada keupayaan dan keperluan, PAS sedia beri peluang,” jelasnya turut menegaskan bahawa PAS, termasuk di negeri Kedah, telah memberi peluang kepada calon wanita.

Terangnya, calon Muslimat PAS diberi tempat untuk bertanding, selaras dengan penglibatan aktif muslimat dalam perjuangan politik di mana pemilihan calon wanita, katanya, bergantung kepada situasi dan kemampuan individu itu sendiri. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -