
JERANTUT: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) perlu melahirkan lebih ramai ‘panglima perang’ melalui semua pelaksanaan aktiviti di bawah DUPP.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata kelahiran pejuang daripada DUPP ini perlu dibentuk akhlak yang selari dengan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.
“Kelahiran panglima perang ini perlu meneliti sejarah-sejarah zaman sahabat untuk terus belajar dan mendidik diri dalam ruang lingkup tersendiri,” katanya semasa merasmikan Muktamar Tahunan DUPP ke-63 di Kompleks As-Syafie, di sini, hari ini.
Jelasnya, para perwakilan juga perlu mencabut rasa takut kepada bukan Islam dalam menentang kebatilan sesuai hadis Nabi Muhammad SAW yang menerangkan sifat-sifat umat akhir zaman.
“Kita perlu belajar bagaimana menghilangkan sakit ‘wahn’ iaitu cintakan dunia.
“Dengan sifat yang begini, akan lahirlah kejujuran dan keberkatan dalam perjuangan Islam,” katanya.
Sementara itu, beliau turut berkongsi kata-kata guru sejarahnya di Timur Tengah, Dr Hussain Al-Samarai yang di dalam kitabnya tentang erti sebenar sejarah.
“Sejarah bukanlah tentang apa yang telah berlaku tetapi sejarah adalah tafsiran apa yang telah berlaku,” katanya yang menjelaskan maksud istilah Dr Hussain itu. – HARAKAHDAILY 13/9/2024











