
TEMERLOH: Muslimat PAS perlu mengorak langkah lebih proaktif dalam mengaplikasi kaedah menghasilkan pertanian, perikanan dan penternakan dengan memperkenalkan kaedah mudah dan murah agar keperluan asasi dapat dihasilkan daripada rumah bagi menampung kos hidup seharian.
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, inisiatif tersebut sebagaimana program yang telah dijalankan di Kelantan dan Terengganu.
Menurutnya, pada masa kini banyak peluang boleh direbut bagi membantu ekonomi golongan wanita yang boleh diangkat bersama menerusi Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan.
Juga katanya, secara bersama Lajnah Pertanian, Keterjaminan Makanan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dan Lajnah Hal Ehwal Pekerja, Modal Insan, Konsumer dan Kepenggunaan.
Menurutnya, DMPM mempunyai tugas yang perlu diperhalusi di negeri-negeri Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mendekati masyarakat dan perteguhkan Islam.
“Bagi merealisasikan perintah yang tersurat dan tersirat, Muslimat PAS perlu bersiap siaga dengan segenap kekuatan,” ujarnya memetik ayat 60 surah al-Anfal ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar DMPM Ke-64 di Dewan Al-Makmur, di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, DMPM akan terus memberi komitmen kepada usaha membangunkan tanah yang telah berjaya dimiliki hasil sumbangan semua pihak.
Iaitu katanya, sama ada penyumbang dari kalangan Muslimat PAS, orang ramai dan dermawan di luar sana sehingga tertegaknya sebuah Kompleks Pendidikan Saidatina Aisyah (KOMSA) kelak.
“Pada waktu ini, tanah tersebut sedang dalam proses naik taraf status yang memerlukan sedikit masa lagi. Bagi memastikan tanah tersebut sentiasa dimanfaatkan, pihak jawatankuasa sedang mengusahakan projek pertanian jangka pendek.
“(Ia) bagi mendapat hasil pulangan dan dapat membantu kos yang diperlukan untuk pembangunan kompleks,” ujarnya berharap bangunan itu sebagai mercu tanda kekuatan dan keteguhan serta kelangsungan bagi generasi muslimah yang bakal melahirkan generasi ummah sejahtera.
Di samping itu, beliau turut melancarkan Tabung Subuh, 1 rumah 1 tabung untuk projek pembangunan KOMSA yang akan diserahkan kepada setiap perwakilan DMPK selepas sidang muktamar ini.
Katanya lagi, DMPM juga telah mengambil langkah proaktif menyediakan satu platform tabungan dengan kerjasama Kelantan Gold Trade (KGT) untuk merangsang amalan menabung dan menginfaq dengan dirham dan dinar.
Justeru, Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan (LEPU) di semua peringkat dapat merebut peluang ini meningkatkan pendidikan pengurusan kewangan dan ilmu celik dirham dinar di samping mengurus
tabungan dinar infaq oleh semua ahli muslimat dan anggota keluarga masing-masing dalam sistem disediakan KGT.
“Saya menyeru kita semua dapat memanfaatkan tabungan ini untuk membudayakan infaq harta yang paling kita cintai (emas perak) dengan menghayati perintah Allah SWT,” ujarnya membaca ayat 267 surah al-Baqarah. – HARAKAHDAILY 13/09/2024











