Kepimpinan Nuridah gagas Agenda Muslimat Negarawan

Pelan Tindakan Strategik DMPM 2023-2025

- Advertisement -

TEMERLOH: Agenda Muslimat Negarawan yang digagaskan dalam Pelan Tindakan Strategik DMPM sesi 2023-2025 bertujuan untuk memperkukuh dan mempertahankan Islam dalam semua aspek kehidupan bernegara.

- Advertisement -

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) berkata, gagasan ini dan kemenjadian setiap produk DMPM dapat dilihat menerusi komitmen dan kebijaksanaan mengurus perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan (4P) terhadap pergerakan setiap lajnah.

Ustazah Nuridah Mohd Salleh memberitahu, usaha itu dilaksanakan oleh Lajnah Pemerkasaan Parti dengan kerjasama Pengarah Strategik dan Pengurusan Risiko Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Katanya, bagi menjayakan hasrat ini, setiap operasi organisasi di setiap peringkat memerlukan petugas tetap yang terlatih, berdisiplin tinggi, diurus dan diguna tenaga sepenuhnya bagi memastikan impak maksimum.

“Penampilan muslimat muda sangat penting dapat mengisi ruang dan merebut peluang menyuarakan pandangan mereka serta terlibat dalam proses membuat keputusan dengan bimbingan.

“Mereka perlu memposisikan diri secara aktif dan kolektif dalam organisasi DMP di semua peringkat, badan-badan bukan kerajaan (NGO), agensi dan sebagainya, yang berperanan dalam memperjuangkan isu-isu wanita, kanakkanak, dan masyarakat,” katanya.

Perkara tersebut diungkapkannya ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-64 di Dewan Al-Makmur, Kerdau, di sini sebentar tadi.

Tambah Nuridah lagi, beliau berkata, penglibatan jentera Ameerah dalam aktiviti Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat membina keyakinan diri dan kemahiran kepimpinan yang diperlukan sebagai pemimpin dalam menghadapi cabaran masa depan.

Dalam hal ini ujarnya, Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial perlu memantau aspek kebajikan petugas dan setiap lapisan kepimpinan Muslimat PAS dengan kerjasama Lajnah Kesihatan.

Perkara itu jelasnya, agar para petugas yang telah memberikan pengorbanan untuk menjadi pendukung parti ini tidak diabaikan dan akan memberi kesan negatif kepada pemantapan dan kelangsungan gerak kerja telah diperkasakan.

Katanya lagi, dalam masa yang sama, penghayatan menyeluruh terhadap intima’ jamaie oleh kepimpinan Muslimat PAS semua peringkat perlu diperkasakan.

Menurutnya, pihak Lajnah Tarbiah dan Perkaderan (LTP) dengan kerjasama LTP PAS Pusat telah menyediakan teks usrah yang lengkap bagi memandu pegangan intima’ jamaie dan diperkukuhkan menerusi pemantauan dari masa ke semasa oleh Majlis Naqibat.

“Setiap perancangan lajnah-lajnah berkonsepkan rentas nilai-nilai ‘AKIFI hendaklah terus diperkukuhkan lagi, bukan semata-mata diletakkan di bawah pundak Lajnah Tarbiah dan Perkaderan, APSA dan program Gelombang ‘AKIFI,” ujarnya. 

Beliau berharap semua ahli Dewan Muslimat mampu menggarap agenda ‘AKIFI yang sentiasa diangkat dalam setiap kali Muktamar DMPM bagi memastikan keyakinan teguh terhadap kemenangan berasaskan kesatuan ummah.

“Saya ingin menarik perhatian agar golongan muda di bawah Ameerah, Briged Muslimat, dan Nusaibah dapat memperturunkan agenda ‘AKIFI secara lebih agresif dalam setiap modul yang dibangunkan bagi membentuk muslimat muda ‘AKIFI.

“Cabaran dan tekanan akan muncul apabila kita berada di medan sebenar di luar sana.

“Saya yakin tarbiah dan ilmu yang mencukupi daripada Lajnah Dakwah, Lajnah Politik dan Pilihan Raya dan semua lajnah dapat menjadi katalis buat kita semua bergerak di medan masyarakat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/9/2024

- Advertisement -