
KUANTAN: Sidang As-Sabiqun yang ditubuhkan hampir 10 tahun lalu, bakal dinaik taraf kepada Dewan, setaraf dengan Dewan Ulamak, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS.
Pengerusinya, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed berkata, penubuhan Sidang As-Sabiqun pada asalnya terdiri daripada veteran PAS, yang kemudiannya diberi nama As-Sabiqun, merujuk kepada istilah dalam al-Quran.
“Jadi oleh kerana kita bergerak sudah jauh, tiap-tiap tahun kita buat konvensyen, seramai 300 hingga 400 orang, jadi dua, tiga tahun lepas kita mengusulkan supaya Sidang As-Sabiqun dinaikkan kepada Dewan supaya selaras dengan dewan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Konvensyen As-Sabiqun 4.0 di Dewan D’Persada Baroqah, di sini, hari ini. Turut serta ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin. (Foto atas)
Kata beliau, usul untuk menaik taraf Sidang As-Sabiqun kepada Dewan telah dibentangkan dalam Muktamar Tahunan PAS di Kedah dan diluluskan tanpa bahas.
Namun, katanya, proses pengesahan tersebut memerlukan penelitian oleh Jawatankuasa Undang-undang, termasuk pembentukan jawatankuasa kecil bagi memperhalusi peraturan yang diperlukan.
“Baru-baru ini telah dipersetujui dan dibawa ke Muktamar Tahunan PAS 2024 untuk dibahaskan berkenaan undang-undang itu dan insya-Allah akan dibawa pula ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), selepas itu jika tidak ada apa-apa akan bertukar Sidang kepada dewan,” katanya.
Menurutnya lagi, dianggarkan terdapat lebih 400,000 individu yang layak menyertai As-Sabiqun berdasarkan keahlian PAS.
Bagaimanapun, beliau berkata, untuk menjadi As-Sabiqun, mereka perlu mendaftar secara rasmi sama seperti dewan-dewan lain dalam parti. – HARAKAHDAILY 12/9/2024











