Pentingnya ikhlas dalam ibadah

- Advertisement -

ADA bermacam-macam tujuan orang datang ke masjid. Ada yang datang sebab nak membuang air kecil atau besar dan mencuri selipar, duit atau tabung masjid. Silap hari bulan, dengan Tok Imam diangkatnya.

Tujuan niat ‘lillahi Ta’ala’ adalah untuk membetulkan hati supaya betul kerana Allah Ta’ala. Sebab ibadah ini tiada nilai kalau tidak ikhlas. Buatlah banyak mana sekalipun, solat banyak, baca al-Quran banyak. Tetapi kalau tidak ikhlas, tiada makna sedikit pun. Sia-sia buat habis ‘pitih’.

Ikhlas perlu kita bina dalam diri masing-masing. Sebab kadang-kadang secara zahirnya perbuatan kita nampak baik, tetapi niat pula tidak betul. Inilah masalahnya. Sebagai contoh, mendirikan solat Subuh sehingga tiga rakaat disebabkan oleh takut terhadap mertua. Apabila niat tidak betul, maka rosaklah.

- Advertisement -

Latihlah lillahi Ta’ala. Contohnya, ada sesetengah yang bekerja sebagai guru bukan kerana minat tetapi kerana tiada kerja lain. Jadi, dia menjadi guru bukan niat untuk mengajar tetapi nak bekerja.

Tidak mengapalah di peringkat awal. Tetapi, perlu latih supaya tujuan menjadi guru adalah untuk mendidik anak bangsa dan masyarakat supaya menjadi baik dan bagus. Kalau semata-mata mengharapkan gaji, sia-sialah kerana boleh ‘pitih’ tetapi pahala tidak dapat.

Tetapi, kalau niat untuk mendidik anak-anak supaya menjadi ‘juruh’, InsyaAllah gaji boleh, pahala pun boleh.

Sama macam berniaga. Kalau berniaga semata-mata nak mencari ‘pitih’, boleh ‘pitih’ tetapi pahala tiada. Sepatutnya berniaga dengan tujuan untuk mencari rezeki yang halal dan menolong orang lain.

Contohnya, membuka kedai runcit di dalam kampung. Tentulah kita mahukan keuntungan, tiada masalah dalam Islam. Cuma kalau kita perbetulkan niat, itu lebih baik, “Aku menjual ini sebab nak sediakan keperluan”.

Kita pun haruslah mengambil untung yang munasabah. Sebab kalau tidak, tutup kedailah jawabnya atau bankrap. Dengan sendirinya, ‘pitih’ boleh, pahala pun boleh.

Contohnya, menjaga kedai runcit tidak sempat nak solat berjemaah. Kalau kita perbetulkan niat, InsyaAllah, Allah akan menggantikan penat lelah kita dengan pahala. Sama juga dengan kerja buruh dan tukang sapu sampah.

Kalau betul kerana ‘lillahi Ta’ala’, boleh pahala mudah-mudah sambil memotong rumput atau menyapu sampah. Ini tidak, waktu merokok lebih banyak daripada buat kerja. Nak habiskan satu puntung rokok sama seperti satu filem Hindustan. Gaji boleh, tetapi tiadalah bekalan kita di akhirat. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -