Lebarkan pengaruh PAS kepada warga emas

- Advertisement -

KUANTAN: Amat penting Sidang As-Sabiqun dapat melebarkan pengaruh PAS kepada warga emas yang diketahui bahawa agak ramai juga mereka adalah bekas-bekas penyokong tegar BN.

Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, ini dengan memahami Roadmap PAS Pusat untuk membawa parti itu lebih dominan dalam politik negara, khususnya di Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.

Katanya, jika dilihat sejarah pilihan raya lepas-lepas, PAS bersama Barisan Alternatif (1999-2004), kemudian Pakatan Rakyat (2008-2013), selepas itu PAS bertanding solo (2018) dan PAS era Perikatan Nasional (2023), sahih sekali PAS kebanyakannya tewas undi di saluran satu dan dua.

- Advertisement -

Berikutan itu, ujarnya ada persoalan iaitu kenapakah PAS/PN tidak popular dalam kalangan warga emas.

“Dan sejauh manakah kita berusaha untuk mendampingi dan memberi kefahaman kepada golongan tegar menolak perjuangan Islam.

“Di atas sejarah perjuangan politik pilihan raya tersebut, seharusnya kita bermuhasabah, betapa di sana memerlukan kesinambungan program pentarbiyahan kepada golongan warga emas dan golongan pelapis,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Sidang As-Sabiqun PAS Pusat 2024 dengan tema ‘Melestari As-Sabiqun Memantap Jemaah’ di Dewan D’Persada Baroqah di sini, hari ini di sini, hari ini.

Menurutnya, di situlah ada peranan Sidang As-Sabiqun untuk menjadi penyambung tarbiah kepada golongan tersebut.

Oleh itu, kata beliau program kebersamaan dan libat urus secara bersasar amatlah sesuai.

Hal ini, ujarnya lagi boleh dilaksanakan sekiranya Sidang AsSabiqun setiap negeri dapat membuka pusat aktiviti As-Sabiqun.

“Di pusat ini, kita boleh merancang dan melaksanakan secara tersusun beberapa aktiviti/program berimpak tarbiah dan penerangan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -