Bersiap ke arah realisasi Dewan As-Sabiqun

Dato’ Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

KUANTAN: Pengerusi Sidang As-Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed berkata, merujuk kepada Perlembagaan PAS, di dalamnya ada memperuntukkan Bab ke-4 darihal ahli-ahli, Bab ke-5 pejabat-pejabat dan Bab ke-10 darihal dewan-dewan.

“Berdasarkan bab-bab tersebut cukup relevan untuk dibaca dan difahami agar para kepimpinan Sidang As-Sabiqun dapat menta’kulkan bagaimana dan di mana seharusnya kita mengambil tanggungjawab ke arah merealisasikan Sidang As-Sabiqun diangkat sebagai Dewan As-Sabiqun pada masa hadapan.

“Justeru itu, apabila kita memahami maksud dan keperluan Perlembagaan PAS tersebut, maka keahlian Sidang As-Sabiqun adalah mana-mana Ahli PAS yang berusia 60 tahun ke atas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Sidang As-Sabiqun PAS Pusat 2024 dengan tema ‘Melestari As-Sabiqun Memantap Jemaah’ di Dewan D’Persada Baroqah di sini, hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, hanya ahli PAS yang sewajarnya diberi taklifan menduduki jawatan di dalam organisasi Sidang As-Sabiqun.

Dalam hal ini, katanya mungkin ada para warga emas di luar sana yang berminat menyertai Sidang As-Sabiqun tetapi belum menjadi Ahli PAS.

Maka, kata beliau seharusnya mereka terlebih dahulu hendaklah mendaftar menjadi ahli PAS.

Dalam hal ini, ujarnya setiap program anjuran Sidang As-Sabiqun adalah peluang mengembang keahlian PAS kepada warga emas, khususnya penjawat awam yang tidak boleh menyertai PAS semasa bertugas tetapi tatkala mereka pencen perlulah dikempen menjadi ahli PAS.

Justeru, kata beliau program Kempen PAS Pilihanku tetap relevan dijadikan sebagai aktiviti Sidang As-Sabiqun.

Seterusnya, ujar beliau mengambil kira Sidang As-Sabiqun boleh digerakkan dengan pelbagai aktiviti seperti ziarah, menyantuni sahabat, usrah dan kursus, maka paling tidak ketua dan setiausaha perlu ada Pejabat As-Sabiqun.

Di situlah, katanya tempat bermesyuarat, merancang dan mengurus program atau aktiviti yang akan dijalankan.

“Justeru ia adalah sama dengan dewan-dewan yang lain, di peringkat kawasan, mahupun di negeri yang kebiasaannya ada pejabatnya sendiri, atau paling tidak menumpang di bangunan yang sama dengan PAS negeri atau kawasan.

Persoalannya, kata beliau sejauh mana Sidang As-Sabiqun mampu membuka pejabat sendiri sebagai pusat pentadbiran.

“Hal inilah yang perlu dibuktikan dalam tempoh terdekat agar imej Sidang As-Sabiqun cukup bersedia dari segi pengurusan organisasinya untuk naik ke taraf sebagai Dewan yang kuat dalam PAS. Sebenarnya kita boleh melakukan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Sidang As-Sabiqun PAS Negeri Johor telah berjaya membuka pejabatnya di Simpang Rengam pada 8 Februari lalu.

Begitu juga, ujarnya tahniah kepada Sidang As-Sabiqun PAS Kelantan yang ada memiliki satu lot tanah untuk pembinaan Wisma As-Sabiqun.

Beliau dimaklumkan kedua-dua aset adalah hasil sumbangan jasawan PAS di negeri masing-masing.

Oleh yang demikian, beliau berharap Sidang As-Sabiqun negeri-negeri dapat memberi perhatian dan langkah serius agar dapat membuka pejabat pentadbiran demi merancakkan pelaksanaan aktiviti atau program untuk ahli As-Sabiqun dan warga emas kalangan orang awam.

“Bagi tujuan memenuhi harapan ini adalah menjadi tanggungjawab pula untuk membuka Pusat Aktiviti As-Sabiqun (PUAS) yang berkonsepkan keilmuan dan keagamaan serta berkebajikan,” katanya.

Menurutnya, melalui PUAS, boleh dianjurkan kelas tahsinul-Quran, pemantapan amalan fardu ain, usrah dan khairat kematian serta kebajikan am untuk manfaat ahli PAS atau warga emas di kawasan masing-masing.

Beliau menambah, bagi menjayakan maksud penubuhan PUAS, maka keanggotaan Jawatankuasa Sidang As-Sabiqun seharusnya dilibatkan juga individu pencen seperti pendidik, agamawan dan pentadbir.

Katanya, mereka cukup berpengalaman bagi menyumbang bakti di penghujung usia demi bekalan amal kebajikan dan kebaikan di akhirat. – HARAKAHDAILY 12/9/2024

- Advertisement -