
KUALA TERENGGANU: “Rugilah kerajaan negeri benarkan padi Terengganu dijual ke kilang luar Terengganu.”
Demikian persoalan yang dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim.
Ini susulan Terengganu menarik balik larangan menjual padi ke kilang negeri lain.
“Untung atau rugi, pertimbangan saya ialah apa yang petani kita dapat. Berat mata memandang berat lagi petani memikul beban,” jelasnya dalam hantaran di laman Facebook beliau.
Secara amnya, kata beliau harga belian padi di Terengganu agak rendah berbanding di negeri lain.
Menurutnya, banyak kilang padi di Terengganu membeli padi dengan harga lantai RM1,300/mt dalam masa yang sama harga padi di negeri lain sudah mencecah RM1,800/mt.
Beliau berkata, Kementerian Pertanian hanya menetapkan harga lantai padi RM1,300/mt tanpa penetapan harga siling.
Justeru, ujar Dr Azman terpulang kepada pihak kilang untuk penetapan harga asalkan jangan lebih rendah daripada harga lantai.
Tambahnya, selaras dengan kenaikan pelbagai kos mengusahakan sawah yang dipikul oleh pesawah, mereka berhak mendapat harga yang lebih tinggi.
Beliau menjelaskan, peraturan yang melarang penjualan padi ke negeri lain memberikan status quo kepada pengilang padi Terengganu untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain.
“Kilang-kilang ini tetap dapat bekalan padi walaupun beli dengan harga rendah.
“Kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah kita,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.
Menurut beliau, persaingan sihat perlu dibuka dalam kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan tawaran yang terbaik dalam rangka menarik pesawah supaya menjual padi ke kilang mereka.
“Sebelum ini walaupun kerajaan negeri sekat penjualan padi keluar dari Terengganu tapi tak ada peraturan yang boleh menyekat penjualan beras keluar dari bumi Terengganu.
“Kerana itu beras dari kilang padi di Terengganu dibeli oleh pemborong luar untuk dibungkus dan diedarkan ke seluruh negara,” ujarnya.
Ini, ujar beliau bermakna langkah menyekat penjualan padi hanyalah tindakan sekerat jalan.
“Hakikatnya beras Terengganu bukan untuk rakyat Terengganu sahaja,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 11/9/2024











