MAIS SRITI Melaka zahir solidariti buat Palestin

- Advertisement -

MASJID TANAH: Mahrajan Amal Islami (MAIS) Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Negeri Melaka mengambil kesempatan pada pelaksanaan program itu dengan menunjukkan solidariti mereka terhadap rakyat Palestin.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Melaka, Ustaz Ustaz Zulhilmi Suboh berkata, ia bagi mendidik para pelajar dengan rasa kesatuan sesama umat Islam semenjak dari mereka kecil lagi.

“Dengan tema ‘Teguh Jihad Bersama Palestin’, MAIS SRITI kali ini bukan hanya memfokuskan pada pertandingan sahaja, bahkan ini adalah himpunan solidariti buat saudara seagama kita di Palestin.

“Acara sebeginilah yang telah memberi ruang dan peluang untuk kita semua bersuara bagi menyatakan sokongan kepada Palestin melalui bakat kemahiran seni yang telah dipamerkan oleh anak-anak SRITI di Negeri Melaka ini,” katanya.

Jelas beliau, ia bertepatan dengan objektif pendidikan SRITI itu sendiri antaranya untuk mendidik generasi Islam bagi melahirkan insan beriman, berakhlak dan berilmu, serta memahami Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul.

“Seterusnya akan melahirkan generasi muda Islam sebagai petugas dan pemimpin umat Islam pada masa akan datang,” ujarnya ketika berucap menutup rasmi program tahunan tersebut.

Beliau dalam ucapan itu mengalu-alukan penyertaan SRITI baharu iaitu SRITI Darul Quro’ yang terletak di Kawasan Hang Tuah Jaya yang pada waktu ini mempunyai pelajar dari darjah satu sahaja kerana baru beroperasi untuk tahun pertama.

“Walaupun darjah satu saya dengar hari ini dia ada juara. Saya tak pastilah dengan dengar-dengar dia ada dapat juara,” katanya.

Ustaz Zulhilmi turut memuji semangat tinggi ditunjukkan oleh semua pihak terutama sekali anak-anak SRITI yang terlibat di dalam pertandingan tersebut.

“Saya mengharapkan usaha ini tidak berhenti sekadar ini sahaja teruskanlah anak-anak kita ni digilap bakat mereka sehingga pada satu hari nanti mereka mampu menyampaikan dakwah Islamiah melalui bidang-bidang yang mereka ceburi,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa dan Muallim serta Muallimah yang bekerjasama dengan baik dalam memastikan kejayaan anak-anak mereka.

“Dengan adanya sokongan dan dorongan daripada mereka semua ini termasuklah pihak ibu bapa program sebegini sebegini menjadi lebih bermakna,” kata beliau.

Turut berucap pada majlis yang berlangsung di sini, kelmarin ialah Pengarah SRITI Negeri Melaka, Mazuan Hassan dengan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Imran Abdul Rahman hadir sebagai tetamu kehormat.

Lima cawangan SRITI terlibat di dalam pertandingan itu iaitu SRITI An-Najah dari Kawasan Hang Tuah Jaya; SRITI Al-Fattah (Tangga Batu); SRITI At-Taqwa (Alor Gajah); SRITI Harun Ar-Rashid (Masjid Tanah) dan SRITI Darul Quro’ (Hang Tuah Jaya).

SRITI An-Najah telah dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan manakala SRITI At-Fattah dan SRITI At-Taqwa masing-masing menggondol Naib Johan dan Tempat Ketiga.

SRITI An Najah mengungguli pertandingan dengan menggondol johan bagi 10 acara iaitu Hafazan Lelaki Tahap 1 dan Hafazan Lelaki Tahap 2 serta Tilawah Lelaki Tahap 2, juga Tilawah Perempuan Tahap 2 dan Pidato Bahasa Melayu Lelaki Tahap 2.

Selain itu, mereka juga menjuarai acara Pidato Bahasa Inggeris Lelaki Tahap 2 dan Pidato Bahasa Inggeris Perempuan Tahap 2 serta Azan dan Kalam Jama’ie dan Konduktor Terbaik. – HARAKAHDAILY 10/9/2024

- Advertisement -