UniMAP jalin kerjasama kepakaran di Switzerland

- Advertisement -

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Naib Canselornya, Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli menyerahkan dua Surat Hasrat (LoI) kepada Cyberfy Consulting AG dan Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Basel.

- Advertisement -

Penyerahan ini dibuat sempena lawatan kerja Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir ke Bern dan Geneva, Switzerland baru-baru ini.

Cyberfy Consulting AG diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bersama (Co-CEO), Sascha Sandragesan, manakala Universiti Basel oleh Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Professor Philippe Cattin.

Kerjasama dengan kedua-dua pihak bertujuan memperluas bidang penyelidikan dan teknologi dalam keselamatan siber serta kejuruteraan bioperubatan.

Menurut Prof Dr Zaliman, kerjasama dengan Cyberfy Consulting AG akan membuka ruang untuk pertukaran kepakaran dan penyelidikan dalam teknologi keselamatan siber, yang semakin kritikal dalam Revolusi Industri 4.0.

Pada masa yang sama, kerjasama dengan Universiti Basel akan memfokuskan pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta penyelidikan dalam analisis imej perubatan dan rawatan berpandukan robotik.

“Kerjasama ini diyakini akan memberi impak besar dalam memperkasakan bidang kejuruteraan bioperubatan serta penyelidikan teknologi perubatan yang semakin berkembang,” katanya.

Lawatan kerja ini juga mencerminkan komitmen UniMAP dalam mengukuhkan jaringan antarabangsa untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperluaskan peluang penyelidikan melalui kerjasama strategik dengan institusi terkemuka di seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -