‘Nelayan pantai sentiasa di hati kami’

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Nelayan pantai sentiasa di hati kami,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi, Dr. Azman Ibrahim.

Menurutnya, beliau mewakilkan kepada timbalannya, Hilmi Harun bersama masyarakat nelayan pada program melabuh unjam dan penyerahan bantuan nelayan pantai bagi Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang 2024 di Pejabat Perikanan Pulau Kambing, di sini, semalam. (Foto atas)

Beliau pada catatan di laman sosialnya, petang semalam menyatakan agihan kepada nelayan itu termasuk fish finder, pukat tangsi, kawat bubu, GPS dan kit memancing.

- Advertisement -

“Nak tangkap ikan kat mana? Jangan risau jom kita turun laut labuh unjam buat rumah ikan. 40 unjam kami labuhkan.

“Daerah yang tak dapat unjam akan dapat tukun, insya-Allah,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.

Beliau juga menyentuh kenapa unjam daun kelapa sahaja yang dilabuhkan bukannya tukun belaka.

Jelasnya, unjam ada fungsi sebagaimana tukun di mana unjam untuk menarik ikan spesies pelagik atau ikan di pertengahan air seperti selar, selayang, kembung, tenggiri, tongkol dan cencaru.

“Tukun untuk spesies ikan dasar seperti merah, kerapu, mandi abu, kunyit, tombok, deloh, sotong, keris dan lain-lain.

“Bukan kita bezakan rakyat antara dua darjat. Tukun dan unjam kedua-duanya adalah rumah ikan,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Hilmi ketika berucap pada majlis itu berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM50,000 kepada Jabatan Perikanan negeri bagi tujuan pembangunan unjam di perairan Kuala Terengganu dan Dungun.

Katanya, sebanyak 40 unit unjam telah dilabuhkan di perairan Pantai Tanjung dengan kos keseluruhan mencecah RM24,000.

Beliau juga menegaskan bahawa meskipun kerajaan negeri berdepan kekangan kewangan, usaha untuk membantu nelayan tetap diteruskan.

“Sejak peralihan kuasa pada tahun 2018, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu nelayan, termasuk pemberian bantuan seperti mesin tarik bot, kawat bubu, GPS, dan fish finder, dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan mencecah RM2.1 juta,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/9/2024

- Advertisement -