Teresa wajar berundur, tidak faham sijil halal JAKIM

Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Teresa Kok seharusnya berundur daripada menjadi ahli parlimen jika sudah tidak mampu memahami asas sensitiviti isu pensijilan halal JAKIM di Malaysia, demi mengelakkan konflik yang lebih besar selepas ini.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Md Taib, berkata demikian susulan siri campur tangan baharu terhadap urusan agama Islam oleh pimpinan DAP setelah banyak kali mereka menyentuh isu berkait dengan Islam secara semberono sebelum ini.

Katanya, kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan tidak seharusnya menjadi alasan untuk pimpinan DAP melontarkan sebarang pandangan yang dirasakan betul oleh mereka.

“Penegasan saya berkaitan bantahan seperti yang dilontarkan oleh Teresa Kok adalah tidak berasas dan berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

“Tindakan beliau seolah-olah cuba menghalang usaha ke arah penambahbaikan industri makanan di negara ini yang memberi manfaat kepada semua, termasuk golongan bukan Islam,” katanya menerusi kenyataan media.

Ustaz Ismi berkata, beliau rasa kecewa yang amat mendalam terhadap kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu yang membantah cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan yang tidak menyajikan daging babi serta alkohol mendapatkan pensijilan halal.

Kenyataan beliau bukan sahaja tidak sensitif terhadap sensitiviti umat Islam di Malaysia, malah mencerminkan sikap tidak hormat terhadap usaha untuk memastikan kebersihan dan kesucian makanan yang dinikmati oleh rakyat negara ini.

“Cadangan mewajibkan pensijilan halal ini adalah demi kepentingan rakyat Malaysia, khususnya umat Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

“Pensijilan halal bukan sekadar isu agama, tetapi juga melibatkan aspek kebersihan, keselamatan, dan kualiti makanan.

“Menolak cadangan ini adalah sama seperti menolak hak pengguna untuk mendapatkan jaminan bahawa makanan yang mereka beli adalah halal, bersih, dan berkualiti,” ujarnya.

Beliau turut berkata, sebagai Ahli Parlimen yang sudah lama dipilih oleh rakyat sejak beberapa penggal dan pernah menjawat jawatan menteri Kabinet, seharusnya Teresa Kok lebih peka dan mengambil kira pandangan serta keperluan majoriti.

“Hal ini kerana Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan budaya, dan oleh itu, kepentingan dan sensitiviti semua kaum perlu dihormati.

“Cadangan ini tidak meminggirkan mana-mana pihak tetapi bertujuan untuk mengangkat standard industri makanan di negara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

- Advertisement -