Pengurus KDN FC II bangga pemain dijemput bersama KDN FC

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tiada perasaan selain rasa gembira dan bangga kerana pemain bawah 23 tahun berjaya menempatkan diri bersama pasukan Liga Super Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

Pengurusnya, Zahar Ab Kadir berkata, sebaik mendapat tahu bahawa pemain KDN FC II dijemput bersama, ia adalah berita gembira kepada semua.

Katanya, ia juga menunjukkan pergerakan dan pembangunan pasukan mereka berada pada landasan yang betul.

- Advertisement -

“Ini satu berita gembira kerana mereka ke skuad utama tidak sekadar berlatih, malah telah diberi peluang beraksi sekaligus mendapat minit permainan”.

“Ia pencapaian penting untuk karier masing-masing kerana sebagai seorang pemain bola sepak, pengalaman bermain dalam saingan tertinggi adalah impian kebanyakan pemain”katanya lagi.

Menurutnya, tidak ramai yang mendapat peluang untuk ke arah itu.

Jadi, beliau berpesan kepada yang dipilih gunakan kesempatan setiap peluang untuk mengukuhkan karier anda dalam sukan bola sepak di Malaysia.

Dalam masa yang sama, Zahar juga mengalu-alukan barisan kejurulatihan Liga Super untuk terus menggunakan khidmat pemain muda ini.

“Ini kerana, semua yang dipanggil adalah bakat yang dapat dimanfaatkan apabila kembali beraksi dengan KDN FC II yang sedang berjuang untuk kekal di tangga teratas Piala MFL,” katanya.

Untuk rekod, empat pemain KDN FC II telah diturunkan dalam saingan Liga Super iaitu kapten, Muhammad Syahir, Adam Danial, Fahrurrozi Suhirman serta Aqil Husni.

Seorang lagi pemain, Fakhrul Che Ramli masih belum diberi peluang beraksi namun telah disenaraikan sekali di bangku simpanan ketika perlawanan menentang Kuching City FC. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

- Advertisement -