Desak ambil tindakan tegas terhadap Teresa Kok

- Advertisement -

MARANG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berikutan kenyataannya mengenai cadangan berkaitan sijil halal yang disifatkan sebagai berbahaya dan menyentuh aspek ajaran agama Islam.

Menurut ketuanya, Yusuf Abdul Hadi, kenyataan Teresa juga bertentangan dengan prinsip 3R (agama, bangsa, raja) dan menimbulkan persepsi negatif terhadap umat Islam.

“Kami mohon supaya pihak polis mengambil tindakan atas Akta Hasutan atau akta yang lebih berat.

- Advertisement -

“Sekiranya kenyataan begini diteruskan, tidak diambil tindakan, kemungkinan akan ada lagi pemimpin DAP atau pemimpin lain yang keluar kenyataan berkenaan yang menyentuh agama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis ke atas kebiadaban Teresa Kok di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini, hari ini.

Yusuf berkata, laporan polis itu dibuat susulan Naib Pengerusi DAP itu membuat satu kenyataan mengundang kemarahan umat Islam di Facebook miliknya mengenai sijil halal yang dianggap membebankan peniaga dan memalukan negara.

“Kami membuat satu laporan polis berkaitan kenyataan tersebut dan kenyataan itu cukup biadap berkenaan agama Islam walaupun sebelum daripada ini telah pun ada kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP berkenaan dengan menyentuh agama Islam.

“Sebenarnya kami nak tanya apa urusan kamu berkenaan sijil halal ini? Padahal halal dan haram ini ialah mengenai umat Islam tidak ada kaitan langsung dengan mereka yang bukan Islam,” katanya.

Beliau turut menyebut beberapa kenyataan kontroversi terdahulu oleh pemimpin parti tersebut, yang pernah menyentuh isu khutbah Jumaat dan pemakaian tudung muslimah.

“Jadi walaupun mereka (hanya) keluar kenyataan tapi kita yakin dan tahu mereka ini ada (niat) di sebaliknya untuk memusuhi umat Islam di negara ini.

“Jadi kami umat Islam di negara ini amat marah dengan tindakan sebegini, kami nak supaya pihak polis penguasa supaya diambil tindakan bukan sahaja kepada pemimpin termasuk kalau boleh kepada parti DAP itu sendiri yang banyak mengguriskan hati umat Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/9/2024

- Advertisement -