
KUALA TERENGGANU: “Kita mahu rakyat merasai sendiri kemanisan dan keindahan tatacara hidup Islam,” kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Beliau menyatakan demikian susulan Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan di sini selama dua hari sejak Khamis.
Menurutnya, antara pengisian karnival itu ialah Munajat Rakyat Terengganu: Kembalikan Royalti Minyak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
“Saya hadir ke Program Munajat Rakyat Terengganu: Kembalikan Royalti Minyak dengan penuh keinsafan dan harapan, bersama rakyat yang turut berkumpul untuk bermohon kepada Allah agar hak royalti minyak dapat dikembalikan kepada rakyat Terengganu,” katanya menerusi laman Facebook beliau.
Beliau berkata, doa yang dipanjatkan memberi semangat kepada semua yang hadir, dengan harapan agar keadilan dapat ditegakkan dan kesejahteraan rakyat dipertahankan.
“Munajat ini merupakan antara acara yang terkandung dalam program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan selama dua hari bermula semalam dan kemuncaknya pada hari ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu,” ujarnya.

Program bermula dengan solat Maghrib secara berjemaah dan diteruskan dengan program Bicara Murabbi bersama Murabbi Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus.
Sesi tersebut penuh dengan ilmu dan nasihat yang bermanfaat, memberikan pencerahan kepada para hadirin mengenai isu keadilan dan hak, serta mengingatkan kepentingan doa dan usaha dalam menuntut hak yang sepatutnya dikembalikan kepada negeri.
Para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid Soutul Amal dengan seleksi lagu-lagu yang menyuntik semangat perjuangan.
“Fokus utama pelaksanaan karnival ini adalah bagi memupuk kesedaran dan melantun keinsafan seluruh rakyat negeri Terengganu tentang peri pentingnya pelaksanaan dan pembudayaan hidup bersyariat.
“Sehingga kemuncaknya, kita mahu rakyat merasai sendiri kemanisan dan keindahan tatacara hidup Islam bermula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat seluruhnya,” ujar Ahmad Amzad lagi.
Katanya, kemuncak acara pada malam tadi adalah ucapan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang menekankan kepentingan penerapan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.

“Beliau turut menyeru masyarakat agar terus memperkukuhkan syariat dalam setiap aspek kehidupan, sama ada dalam urusan keluarga, pekerjaan, mahupun bermasyarakat.
“Menurut beliau, karnival ini bukan sahaja menjadi platform untuk menimba ilmu agama, tetapi juga peluang untuk mempereratkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam di negeri Terengganu,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 7/9/2024











