‘Saya ambil tanggungjawab atas apa yang berlaku’

Sebahagian jalan yang menimbulkan masalah kepada penduduk telah dibaiki.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata beliau mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku berhubung masalah yang dihadapi oleh warga Kampung Bukit Jeruk.

Ini susulan masalah yang dihadapi oleh warga kampung itu kerana terpaksa melalui jalan rosak dan berdebu.

“Kesukaran yang terpaksa dilalui oleh warga Kampung Bukit Jeruk, Jabi sejak bertahun lalu kerana terpaksa melalui jalan rosak dan berdebu disebabkan kerja-kerja mengangkut tanah untuk menambun satu tapak kilang di Besut telah kita tangani sebahagiannya,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, setelah berulang kali perundingan dan perbincangan dengan pihak kontraktor supaya memperbaiki kerosakan jalan serta peka dengan aduan masyarakat sebagaimana yang dijanjikan tidak diambil tindakan sewajarnya.

Justeru, kata beliau pihaknya tiada pilihan lain untuk menjaga kepentingan rakyat kecuali dengan tindakan menghentikan kerja-kerja ini.

Tambahnya, pihak kontraktor bolehlah mencari tanah di lokasi lain untuk meneruskan projek mereka.

Ini, ujarnya kerana Jalan Kampung Bukit Jeruk hanyalah spesifikasi jalan kampung yang sama sekali tidak sesuai dilalui lori tanah seberat lebih 40 tan yang bekerja siang dan malam.

Beliau yang juga ADUN Jabi memaklumkan, telah banyak kehidupan harian warga kampung yang terjejas disebabkan isu itu.

“Kerosakan jalan yang ditinggalkan, kita telah peruntukan sejumlah bajet untuk perbaiki. Janji bertulis pihak kontraktor untuk baiki semula hanya tinggal janji sahaja,” ujarnya.

Menurutnya, ada lagi jalan rosak terutama laluan Bukit Jeruk ke Anak Musang yang belum diperbaiki.

“Insya-Allah kita ikhtiar cari peruntukan seberapa segera. Mohon maaf atas apa segalanya.

“Kedamaian dan ketenteraman Kampung Bukit Jeruk perlu kita kembalikan semula. Saya mengambil tanggungjawab atas apa yang berlaku,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

- Advertisement -