
KUALA LUMPUR: Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Hanif Jamaluddin menzahirkan ucapan tahniah kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari atas kematangan politik yang ditunjukkan.
Beliau merujuk kepada perlawanan bola sepak persahabatan yang diadakan di Pusat Latihan Selangor FA, Shah Alam, di mana pasukan pilihan Menteri Besar Kedah menewaskan pasukan Menteri Besar Selangor dengan skor 8-5.
Hanif menjelaskan bahawa melalui Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dibawa oleh PAS, beberapa prinsip penting diutamakan, antaranya ialah politik yang meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
“Pertembungan parti politik di kala pilihan raya adalah perkara biasa, masing-masing membawa hujah dan idea untuk memberikan khidmat yang terbaik.
“Namun selepas selesai pilihan raya, khidmat dan bakti kepada wakil rakyat menjadi keutamaan. Kebajikan rakyat didahulukan,” ujarnya dalam media sosial miliknya.
Beliau menegaskan bahawa apa sahaja yang bermanfaat untuk rakyat, selagi ia dibenarkan oleh syarak, perlu diusahakan tanpa mengira perbezaan ideologi politik.
Menurutnya, perbezaan ideologi tidak seharusnya menjadi halangan untuk pemerintah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, dan wakil rakyat harus diberi peruntukan mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik.
Selain itu, Hanif menyatakan bahawa BPMS juga menekankan pentingnya politik yang damai dan diplomatik, di mana semua pihak perlu saling menghormati melalui hubungan yang berdiplomasi dan berperaturan.
“Mendidik masyarakat agar memulakan dengan pendekatan damai. Mengelakkan budaya politik konfrontasi dan fitnah memfitnah serta membentuk suasana masyarakat yang lebih damai sekalipun dengan masyarakat yang aktif berpolitik,” jelas beliau.
Beliau turut mengulas bahawa ramai anak muda hari ini sering melabelkan politik sebagai ‘kotor’ dan ‘jijik’.
Oleh itu, beliau menegaskan bahawa politik sebenarnya adalah urusan pemerintahan dan pentadbiran, yang akan menjadi baik apabila ia diuruskan oleh individu yang baik dan begitulah sebaliknya.
“Baginda Nabi SAW juga melibatkan diri dalam sistem pemerintahan, baginda menjadi Perdana Menteri dalam urusan mentadbir kerajaan Madinah dengan neraca Islam yang sempurna.
“Hasilnya rakyat yang berbilang bangsa ditabdir dengan baik dan hidup dalam penuh keamanan.
“Semoga BPMS ini dapat diamalkan oleh semua ahli politik untuk membentuk politik yang lebih baik dan sejahtera untuk negara,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 5/9/2024











