NGO ikrar tangani ancaman terhadap Melayu di bandar

- Advertisement -

HANG TUAH JAYA: Badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu Melayu akan bekerjasama rapat dengan parti politik menangani ancaman yang mungkin timbul dari penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA).

- Advertisement -

Mantan Pegawai Teknikal Kanan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Sr Mohd Safiee Junun berkata, kaedah itu difikirkan sebagai cara terbaik bagi membolehkan isu tersebut dapat diperjuangkan dengan berkesan.

Jelasnya, perkara tersebut dibincangkan sewaktu persidangan meja bulat pernah dianjurkan oleh Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) yang telah berlangsung di sebuah hotel di Ampang pada 29 Jun lepas.

Tambah beliau, sewaktu persidangan meja bulat tersebut, beliau telah membangkitkan persoalan kepada Ketua Penyelaras REACH, Dato’ Iskandar Abd Samad mengenai pihak yang akan menjayakan resolusi berkaitan isu itu, sama ada NGO ataupun pihak parti politik.

“Saya mencadangkan kepada Dato’ Iskandar supaya isu ini perlu ditangani oleh pihak parti politik iaitu pada pandangan kami adalah PAS. Kami yang berlatarkan NGO, akan memberi kerjasama agar PAS, ataupun mana-mana parti tidak keseseorangan.

“Kerana tajuk kita ni isu Melayu, tanah Melayu, perumahan Melayu, wajar sangat NGO Melayu ini membantu. Sebab itulah saya menawarkan diri untuk membantu Lajnah Tanah PAS untuk menjayakan misi kita,” katanya.

Tambah Sr Mohd Safiee, sememangnya beliau sebelum ini yang merupakan penjawat awam di bidang berkaitan menyebabkan selalu berurusan dengan Iskandar di mana ketika itu adalah Exco Perumahan Selangor.

“Kita selalu mengadakan perbincangan tentang isu-isu perumahan. Tetapi bila saya dah bersara ni saya rasa mempunyai lebih kebebasanlah untuk berdamping lebih rapatlah dengan parti politik.

“Walaupun saya tidak meninggalkan NGO, setakat ini saya masih berada dalam NGO. Tetapi percayalah sudah sampai masanya NGO perlu bersama dengan parti politik untuk menjayakan misi kita,” katanya.

Katanya, pihak NGO sealiran dan memperjuangkan isu itu akan membentuk kesepakatan dan membantu parti-parti yang bersekutu dalam memperjuangkan isu itu dalam pilihan raya akan datang supaya mereka mempunyai lebih kekuatan.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap sebagai moderator di dalam Seminar Penerangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung di Dewan Mua’alim Tuan Guru Haji Abdul Wahid, Bukit Katil, di sini malam kelmarin.

Seminar diadakan bagi memberi penerangan mengenai akta tersebut yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibimbangi akan mengancam golongan Melayu yang menghuni bandar.

Tambah beliau, persidangan meja bulat itu telah menghasilkan 15 resolusi yang akan menjadi asas untuk memperjuangkan hak-hak orang Melayu dalam berhadapan dengan penggubalan akta tersebut di mana dibimbangi akan mengancam Melayu terutama tinggal di bandar-bandar.

“Resolusi ini disediakan sementara kita belum berkuasa. Sebelum kita berkuasa inilah resolusi yang kita cadangkan. Dan kita menyerahkan kepada Ahli Parlimen yang sewajarnya untuk memperjuangkan isu Melayu.

“Mungkin kita juga perlukan Ahli Parlimen daripada parti-parti lain berbangsa Melayu untuk sama-sama memperjuangkan hasrat resolusi ini. Kita akan cuba dari masa ke masa, kita akan cuba menyuarakan perkara ini,” katanya.

Tegas Sr Mohd Safiee, sememangnya kuasa di negara ini ditentukan oleh kuasa politik, manakala kuasa politik pula memerlukan sejumlah pengundi yang cukup.

“Untuk mendapat sejumlah pengundi yang cukup kita perlu ada majoriti penduduk di kawasan tersebut.

“Jadi inilah di antara agenda yang kita perlu beri perhatian supaya tidak kita tidak ketinggalan ataupun tercicir dalam terutamanya di bandar-bandar,” katanya.

Program anjuran Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat itu dirasmikan pengerusinya, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

Turut berucap di dalam seminar tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail yang juga Ahli Parlimen Jasin.

Dua pembentang kertas kerja telah membentangkan kertas kerja mereka di dalam seminar tersebut iaitu mantan Exco Perumahan Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad dan Penyelidik, Penulis dan Ahli Persatuan Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman.

Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional Melaka yang juga ADUN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

Peserta seminar meliputi pimpinan-pimpinan PAS, BERSATU, beberapa NGO berkaitan di mana ahli-ahli Umno turut dijemput di dalam seminar itu. – HARAKAHDAILY 5/9/2024

- Advertisement -