
TEMERLOH: Berbaki tujuh hari saja lagi Muktamar Tahunan PAS kali ke-70 bakal berlangsung di negeri Pahang bertempat di Kompleks Al Makmur, Kerdau bermula 11 hingga 15 September ini.
Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Zarimi Abu Zih melalui hantaran di laman Facebook beliau semalam mengalu-alukan kedatangan para perwakilan, pemerhati dan pengunjung dari seluruh negara ke bandar Titik Tengah Semenanjung tersebut.
“Selamat datang ke negeri Pahang kepada semua perwakilan ke Muktamar Tahunan PAS kali ke -70, Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia kali ke-65, Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia kali ke-64 dan semua perwakilan Dewan Ulamak PAS Pusat kali ke-63,” ujarnya
Pemilihan Pahang sebagai tuan rumah, jelasnya merupakan satu keputusan tepat memandangkan PAS negeri ini kini berada dalam ‘mood’ getar bagi merealisasikan misi PAS Teraju Pahang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Pelbagai acara menarik disediakan pihak penganjur di tapak program antaranya Festival Kerdau yang menggabungkan enam buah segmen iaitu Asia Tradisional Food Festival, Hijab Festival, Patin Temerloh Festival, Benih dan Tanaman Festival, Kerdau Bike Week dan Pasar Karat.
Para perwakilan dan pengunjung akan turut dihiburkan dengan persembahan nasyid, pengisian jiwa dan rohani daripada tokoh-tokoh ulama negara dan beberapa lagi aktiviti menarik menanti pengunjung.
“Koi tunggu aokme semua. Aokme jangan tak datang pulok yek,” ujarnya dalam loghat Pahang yang membawa maksud ‘saya tunggu anda semua, anda jangan tak datang pula ya’.

Negeri Tok Gajah dipilih menjadi tuan rumah buat kali kedua selepas Muktamar Tahunan PAS kali ke-65 berlangsung di Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) Indera Mahkota, Kuantan pada tahun 2019. – HARAKAHDAILY 5/9/2024











