
KUALA LUMPUR: “Saya mohon buat semua untuk sama-sama pakat mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Abang Lan,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah.
Beliau menyeru demikian susulan Azlan Abdul Rahman, ayah kepada pelumba muda negara, Qabil Irfan sesak nafas ketika berada di bengkel ZK Racing, Sepang.
“Petang kelmarin saya menerima berita yang mendukacitakan dengan dimaklumkan Abang Lan, ayahanda kepada Qabil Irfan telah sesak nafas secara mengejut ketika berada di bengkel ZK Racing, Sepang,” ujarnya dalam hantaran di laman sosialnya, hari ini.
Menurutnya, Azlan yang mesra dengan panggilan Abang Lan terus dibawa ke hospital berdekatan untuk rawatan segera.
Katanya, semalam Azlan dipindahkan pula ke hospital lain di Seremban kerana disyaki masalah jantung.
Semalam juga, ujarnya beliau telah bercakap dengan Zulfahmi Khairuddin untuk mendengar perkembangan terkini.
“Alhamdulillah, keadaan Abang Lan makin beransur baik namun masih dalam pemantauan. Terima kasih Fahmi yang sentiasa update.
“Semoga beliau segera beroleh afiyah dan diberi kemudahan buat beliau dalam menghadapi ujian ini, insya-Allah. Semoga terus kuat Abang Lan,” katanya lagi.
Pada 28 Julai lalu, Qabil Irfan berjaya muncul juara kategori Moto 4 dalam perlumbaan kedua pusingan keempat Espana De Superbike di litar Barcelona, Catalunya, Sepanyol.
Pelumba kelahiran Kuala Terengganu itu merangkul gelaran juara keseluruhan Kejuaraan Siri Dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol pada 23 November tahun lepas. – HARAKAHDAILY 5/9/2024











