
KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Urusetia Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat sedia mendengar pandangan anak-anak muda bagi kepentingan mereka pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad berkata, program itu diadakan melalui siri ‘Town Hall Kelantan Future Leaders’.
Katanya, program terbabit diadakan di Perdana Leadership Foundation di Kuala Lumpur dikendalikan Institut Kepimpinan Masa Depan Kelantan.
“Ia merupakan badan di bawah Majlis Pembangunan Anak Muda Kelantan. Saya mahu mengutip sebanyak mungkin pandangan, idea dan aspirasi daripada anak muda.
“Alhamdulillah satu sesi yang sangat sarat dan padat dengan lontaran dan ambo mendengar dan mencatat apa yang diluahkan mereka,” katanya pada catatan Facebooknya hari ini.
Sehubungan itu beliau mengucap terima kasih kepada semua anak muda yang sudi berkongsi idea dan aspirasi pada majlis tersebut.
“Insya-Allah kita akan buat lagi siri town hall, kali ini akan dibuat secara kecil dahulu. Lepas ini mungkin kita cuba buat dengan skala yang lebih besar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/9/2024











