3 ‘bayi merdeka’ lahir di Pusat Perubatan An-Nisa’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pusat Perubatan An-Nisa’ milik Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mengurus kelahiran tiga bayi pada 31 Ogos lalu.

- Advertisement -

Bayi pertama milik pasangan Nur Amalina Diyana Mohamed Azmi dan Abdul Rahman Abd Ghani dari Terengganu dilahirkan pada jam 10.02 pagi melalui kaedah pembedahan seberat 2.9 kilogram.

Manakala bayi kedua dilahirkan Nur Alyanie Abdul Aziz seberat 3.12 kilogram dan bayi ketiga milik Noor Izzati Md Nor lahir pada jam 2.33 petang seberat 4.09 kilogram.

Pengurus Pusat Perubatan An Nisa’ Nursabati Mohd Pauzi merakam ucapan terima kasih kepada pasangan suami isteri yang memilih mendapatkan rawatan serta melahirkan bayi di An-Nisa’.

“Alhamdulillah dan tahniah kepada semua ibu bapa yang berkongsi tarikh keramat 31 Ogos menyambut kelahiran ahli baru dalam keluarga mereka,” katanya di sini.

Oleh itu beliau berharap pusat perubatan itu yang berkonsep Patuh Syariah dan Mesra Ibadah terus menjadi pilihan ibu bapa.

Sementara itu, Nur Amalina Diyana berkata, beliau sepatutnya bersalin pada 9 September, namun memilih melahirkan secara pembedahan pada tarikh kemerdekaan.

Katanya tarikh keramat itu mudah diingati dan berharap anaknya akan menjadi rakyat yang berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

“Alhamdulillah terima kasih juga pada An Nisa’ yang memberi sokongan yang padu pada kami,” ujarnya.

Suaminya Abdul Rahman turut menyatakan kegembiraan kerana bayi mereka lahir pada 31 Ogos dan berharap anaknya berjiwa merdeka dan dapat berbakti kepada tanah air suatu hari nanti.

Pusat Perubatan An Nisa ditubuh pada 28 Mei 1995 merupakan yang pertama berkonsep patuh syariah Kelantan. – HARAKAHDAILY 5/9/2024

- Advertisement -