Benarkah bangunan IPD Melaka Tengah dijual?

- Advertisement -

AYER KEROH: Kerajaan Negeri Melaka diminta untuk memberi penjelasan mengenai kesahihan satu sumber yang tular mendakwa bahawa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah dijual kepada pihak lain.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang DUN Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, maklumat tersebut dipercayai telah mula tersebar pada 2 September kelmarin di aplikasi TikTok dan Telegram.

“Malah, sumber itu mendakwa penghuni IPD Melaka Tengah telah diarahkan berpindah dengan serta-merta ke satu lokasi baharu yang dikatakan tidak lengkap dan tidak selamat.

“Selaku Ketua Pembangkang DUN Melaka, saya berpandangan ini merupakan satu tuduhan yang amat berat dan jika kenyataan sumber ini adalah terbukti benar, maka ini satu tindakan yang zalim dari seorang pemimpin,” ujarnya.

Persoalannya, menurut beliau, apakah benar bangunan lama tersebut telah dijual kepada pihak lain dan apakah semudah itu tanah milik kerajaan dijual kepada pihak lain?

“Apakah ini satu usaha untuk memburukkan nama Ketua Menteri Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka sendiri?

“Bak kata pepatah, ‘Kalau Tiada Angin Bertiup, Masakan Pokok Bergoyang’,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook beliau hari ini.

Katanya lagi, Ketua Menteri Melaka dan Kerajaan Negeri harus segera menjawab tuduhan ini agar nama kerajaan negeri tidak tercalar.

“Sebagai ADUN Melaka yang mewakili Perikatan Nasional (PN), saya amat bersimpati dengan nasib pihak kakitangan IPD Melaka Tengah yang menjadi mangsa jika berita ini benar.

“Saya mengalu-alukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan segera terhadap isu ini. Tindakan tegas harus dikenakan kepada pihak yang terbabit,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024

- Advertisement -