Sukan eratkan hubungan, promosi gaya hidup sihat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor berkata, sukan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat serta mempromosikan gaya hidup sihat.

Beliau menekankan perkara itu ketika merasmikan Kejohanan Bola Jaring anjuran Nisa’ Pahang di Jengka Sport Centre, kelmarin.

“Pertandingan yang diadakan ini bukan sahaja memberikan ruang kepada anak muda untuk menunjukkan bakat mereka, tetapi juga menggalakkan semangat kesukanan dan kerjasama antara komuniti,” katanya dalam hantaran di laman sosialnya, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, acara seperti itu perlu diteruskan dan dikembangkan lagi pada masa hadapan untuk manfaat bersama.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Nisa’ Pahang, wakil Nisa’ Malaysia dan AJK yang terlibat dalam penganjuran program yang cukup bermanfaat itu.

“Tahniah kepada wakil Jerantut yang telah memenangi kejohanan kali ini, ada rezeki berjumpa lagi, insya-Allah,” ujarnya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Sementara itu, Nisa’ Pahang menyatakan kejohanan itu telah berlangsung dengan jayanya yang melibatkan 14 pasukan dari seluruh negeri.

Pasukan Ezass (Nisa’ Jerantut) muncul juara, tempat kedua Nbad 06 (Nisa’ Maran) dan Lipis Shark (Nisa’ Kuala Lipis) tempat ketiga.

Nisa’ Pahang mengucapkann jutaan terima kasih terutama kepada AJK pelaksana kejohanan yang bertungkus lumus dan semua pihak yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung serta tidak lupa kepada yang mendoakan kelancaran kejohanan.

“Kami Nisa’ Pahang memohon maaf sebarang kelemahan dan kesilapan sepanjang menguruskan kejohanan ini.

“Semoga kejohanan bola jaring ini dapat memberi pengalaman yang berharga buat para pemain dan semoga ukhuwah yang terbina terus berkekalan.

“Insya-Allah bertemu lagi di program Nisa’ Pahang yang akan datang,” ujar Nisa’ Pahang menerusi laman Facebooknya. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -