Puad buta demokrasi, tiada kredibiliti ulas PAS di Sabah

Mustaman Mustain
- Advertisement -

SANDAKAN: Datuk Dr Mohamad Puad Zarkashi disifatkan sebagai buta demokrasi dan tiada kredibiliti untuk mengulas berkenaan PAS khususnya di Sabah.

Ketua Penerangan PAS negeri, Mustaman Mustain membidas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu yang sebelum ini berkata PAS bermimpi di siang hari menang PRN Sabah.

“Dalam negara Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen, PAS bebas untuk bertanding di mana-mana termasuk di Sabah dan berpeluang untuk menang dengan strategi yang berkesan,” katanya.

- Advertisement -

Bahkan ujarnya, PAS merupakan parti yang setia dan tidak seperti Umno yang sanggup ‘menikam belakang’ rakan politik apabila cuba menjatuhkan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pada Januari 2023 lalu.

“Nilai kesetiaan ini menjadi aset penting bagi PAS untuk menang dalam PRN nanti, dalam masa yang sama menampilkan tokoh berkaliber dengan pendekatan mendekati rakyat pelbagai kaum,” ujarnya.

Tambahnya, Umno tidak boleh berbangga dengan kedudukan hari ini memandangkan rakyat hanya melihat parti Melayu itu sebagai terompah DAP yang menjadi kuda tunggangan parti chauvinis itu untuk memerintah Malaysia.

Ulasnya, kenyataan Puad itu juga menunjukkan Umno gerun jika PAS bertanding, tambahan lagi kedudukan Ketua Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin yang tidak kukuh di DUN Lamag yang hanya menang dengan majoriti 661 dalam PRN lalu. – HARAKAHDAILY 3/9/2024

- Advertisement -