
KANGAR: Dalam menghadapi cabaran dan krisis akhlak yang semakin meruncing, penekanan terhadap pengajaran asas Al-Quran dan Fardhu Ain di sekolah-sekolah dilihat sebagai keperluan penting dalam membina jati diri anak-anak.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Perlis, Ustaz Muhammad Azmir Azizan menekankan bahawa pembekalan ilmu agama sejak usia muda adalah benteng utama dalam mengukuhkan nilai-nilai murni di kalangan generasi muda hari ini.
Beliau menyifatkan program Kelas Asas Fardhu Ain dan Al-Quran (KAFA) sebagai langkah penting untuk memastikan pendidikan ini terus relevan dan efektif dalam membentuk generasi yang berakhlak mulia.
“Program KAFA, yang telah bermula 34 tahun lalu sebagai pelengkap kepada pendidikan formal negara, kini berjaya melahirkan generasi yang menghayati ajaran agama dan berakhlak mulia,” katanya.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli merasmikan Majlis Konvensyen KAFA Peringkat Kebangsaan di Dewan Wawasan 2020, semalam.
Ustaz Muhammad Azmir turut merakamkan penghargaan kepada semua guru dan penyelia KAFA di seluruh negara atas komitmen tinggi mereka dalam mendidik murid-murid sehingga berjaya melahirkan generasi soleh dan solehah.
“Semoga segala pengorbanan dan jasa para penyelia serta guru KAFA mendapat keberkatan dan kemuliaan di sisi Allah SWT,” tambahnya.
Konvensyen itu menjadi platform penting untuk membincangkan hala tuju pendidikan KAFA di Malaysia serta memperkukuhkan peranan program ini dalam membina akhlak generasi masa depan.
Pelbagai acara diadakan, termasuk persembahan tilawah Al-Quran oleh murid KAFA negeri, penyampaian anugerah dan penghargaan kepada guru KAFA, serta sesi perkongsian oleh Bank Islam Malaysia Berhad.
Turut diadakan adalah sesi bersama Mufti Negeri Perlis, Dato’ Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang membincangkan Penerapan Konsep Al-Falah Dalam Pendidikan Islam serta peranan Pentaksiran Pendidikan Islam dalam membentuk murid yang holistik.
Hadir sama adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – HARAKAHDAILY 3/9/2024











