Kejayaan Kelantan bidang pendidikan bukan sekadar nostalgia

Mohamad Kamal Mohamed
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pencapaian dan pengalaman Kelantan sebagai negeri yang mementingkan pendidikan dan pembangunan modal insan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membina sebuah negara lebih baik.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed berkata, banyak kejayaan ditempa dalam sektor tersebut sejak tahun 1990 melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Menurutnya ia merupakan hasil dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dan kini ditambah baik dengan Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

- Advertisement -

“Fundamental dasar itu yang dikontemporarikan melalui Penghayatan Membangun Bersama Islam oleh kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud bukan nostalgia yang boleh diperlekeh.

“Teras inilah yang membawa wibawa kepimpinan dan perlu secara serius diserapkan sebagai teras SG4,” katanya pada kenyataan di sini.

Hari ini berlangsung Sidang Kemuncak Kerajaan Negeri Empat (SG4) yang dihadiri empat Menteri Besar dan pimpinan kerajaan yang mewakili Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Mohamad Kamal berkata, setiap tahun kerajaan Kelantan menyalur peruntukan hampir RM130 juta bagi mengurus 93 sekolah agama di bawah kendalian YIK.

Menurutnya kerajaan negeri menyedari kepentingan pendidikan dan modal insan bagi membina masyarakat yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

“Pencapaian tersebut memberi pulangan pelaburan dalam pembinaan intelek dan spiritual berintegriti pastinya akan membawa negara ke suatu tahap kejayaan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Antara kejayaan Kelantan dalam sektor itu berupaya melahirkan 5,122 hafiz al Quran dihasilkan sejak tahun 1992 sehingga 2023 menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK). – HARAKAHDAILY 2/9/2024

- Advertisement -