
PASIR PUTEH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail melahirkan keterujaannya apabila penduduk menganjurkan program kemerdekaan bersama Majlis Daerah Pasir Puteh.
Program yang dianjurkan dengan pelbagai aktiviti itu berlangsung dengan penuh kemeriahan dan mendapat sambutan yang hangat daripada penduduk Kampung Tasek Pauh dan Kampung Tualang Tinggi, di sini.
Menurut Tuan Saripudin, program yang diadakan itu bukan sahaja memupuk semangat patriotik, tetapi juga mempereratkan hubungan antara penduduk melalui pelbagai aktiviti seperti sukaneka.
Katanya, acara utama yang menjadi tumpuan ialah Perarakan Basikal dan Pertandingan Basikal yang disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Aktiviti ini bukan sahaja memberikan keseronokan kepada peserta, malah menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dengan kibaran Jalur Gemilang yang menghiasi setiap basikal.
“Selain itu, Pertandingan Warna dan Pertandingan Baju Merdeka turut diadakan, menyaksikan kanak-kanak dan orang dewasa tampil dengan kreativiti masing-masing,” katanya pada program itu semalam.
Menurut beliau, pelbagai hasil seni dan fesyen bertemakan kemerdekaan dipamerkan, telah mencuri perhatian para pengunjung.
“Turut menarik minat penduduk setempat acara memancing, Fine Ride Sawah Merdeka yang dianjurkan oleh Ahli Majlis dan Majlis Daerah Pasir Puteh.
“Sukaneka Merdeka yang dikendalikan oleh penduduk Tualang Tinggi dan Tasek Pauh menjadi acara kemuncak sambutan ini,” ujarnya.
Tambahnya, sambutan yang meriah ini bukan sahaja memperlihatkan semangat kesatuan dalam kalangan penduduk, tetapi juga menunjukkan betapa pentingnya peranan masyarakat dalam menyemarakkan semangat kemerdekaan negara.
Beliau berharap, dengan penganjuran acara-acara sebegini, semangat patriotisme akan terus berkekalan dan diwarisi oleh generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 1/9/2024












