Lagu Negaraku berkumandang di Litar Aragon, Sepanyol

Foto daripada Facebook Hakim Danish.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Lagu Negaraku berkumandang di Litar Aragon, Sepanyol.”

Demikian catatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim susulan kejayaan Hakim Danish Ramli menjuarai Perlumbaan 2 Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 di Aragon, Sepanyol, hari ini.

- Advertisement -

Hakim Danish berjaya menamatkan perlumbaan kedua dan mendapat tempat kedudukan podium pertama dalam kejuaraan itu.

Media melaporkan, dengan kemenangan tersebut, pelumba kelahiran Terengganu itu mengotakan janjinya untuk menghadiahkan Malaysia kemenangan sempena Hari Kemerdekaan ke-67, semalam.

Kemenangan itu adalah yang pertama buat Hakim Danish dalam kempen RBMRC yang mula disertainya pada musim lalu.

Beliau adalah pelumba negara yang pertama berjaya muncul juara.

Sementara itu, Hakim Danish menerusi laman sosialnya memberitahu, perlumbaan itu begitu mencabar kerana litar basah.

“Alhamdulillah, saya berjaya memenangi perlumbaan ke-2 Redbull Rookies Cup (tag) round 6.

“Perlumbaan yang begitu mencabar bagi saya kerana litar yang basah, tetapi saya berjaya juga.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada sponsor saya, family saya dan semua orang yang support saya,” ujarnya.

Tambahnya, kejayaan itu merupakan hadiah untuk negara sempena Hari Kemerdekaan ke-67.

“Saya yakin di Malaysia ramai ingin saya lakukan sesuatu sempena Hari Kemerdekaan ke-67 dan inilah hadiah saya untuk Malaysia untuk kemerdekaan ke-67! Malaysia Boleh!” ujarnya.– HARAKAHDAILY 1/9/2024

SANAH HELWAH…catatan Hishamuddin menerusi laman Facebook beliau pada 30 Julai lalu.
- Advertisement -