
KUALA KEDAH: ADUN Kubang Rotan, Dato’ Mohd Salleh Saidin memberi komitmen akan berusaha menyelesaikan masalah banjir kilat setiap kali hujan yang menjejaskan penduduk Taman Layar, fasa 4, di sini.
Beliau sendiri turun ke lapangan bertemu penduduk terbabit dan akan mengadakan pertemuan bersama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) untuk mengenal pasti punca kejadian dan perbincangan ke arah solusi.
“Masalah ini difahamkan sudah berlarutan agak lama, sedangkan penduduk di sini juga berhak hidup selesai seperti orang lain. Walau bagaimanapun, saya mahu mendengar penjelasan dari kedua-dua pihak.
“Iaitu penduduk di taman ini dan MBAS supaya dapat berlaku adil,” jelasnya berikutan dakwa penduduk bahawa MBAS tidak melakukan sebarang tindakan walaupun masalah itu telah diajukan agak lama.
Pada pertemuannya bersama penduduk perumahan tersebut, beliau dimaklumkan lebih 100 penduduk melibatkan 40 rumah khususnya di Taman Layar, fasa 4, akan dilanda banjir kilat setiap kali berlaku hujan lebat.
“Penduduk mendakwa, banjir ini berpunca dari sistem perparitan kerana apabila hujan lebat, air akan bertakung dan tidak boleh bergerak. Dalam tempoh beberapa jam baharu surut,” jelasnya lagi.
Sementara wakil penduduk, Borhan Md Zain berkata, masalah ini sudah berlarutan hampir enam tahun dan setiap kali hujan, air dari perumahan fasa 1, 2 dan 3 akan melimpah ke kawasan perumahan mereka, fasa 4.
Kejadian itu katanya, mengundang keresahan penduduk kerana bukan sahaja menyebabkan aktiviti harian tergendala, sebaliknya perabot rumah juga rosak.
Manakala menurut salah seorang penduduk taman berkenaan, Nor Izani Ibrahim, walaupun hujan lebat hanya 30 minit, paras air dalam longkang akan naik dan beliau dan keluarga terpaksa tidur dalam keadaan rumah digenangi air.
Justeru kata Mohd Salleh, beliau akan lakukan yang terbaik bagi menyelesaikan isu tersebut dan mengharapkan penduduk bersabar sehingga ia dapat diselesaikan.
Pada lawatan itu, beliau turut meninjau beberapa lokasi yang didakwa penduduk menjadi punca berlakunya banjir kilat berkenaan. – HARAKAHDAILY 1/9/2024













