
KOTA BHARU: Lebih 35,000 hadir menyaksikan sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Kelantan Ke-67 yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Jumlah berkenaan tidak termasuk ribuan yang masih berada di sekitar stadium berkenaan termasuk di dataran yang tidak dapat memasuki berikutan stadium telah dilimpahi oleh orang ramai.
Perarakan masuk Jalur Gemilang dan bendera Negeri Kelantan bermula sebaik sahaja kenamaan menduduki tempat masing-masing yang diikuti perarakan masuk kontinjen-kontinjen yang mengambil bahagian diketuai Angkatan Tentera Malaysia, brass band gabungan 8 Briged ATM dan pancaragam dari Sekolah Menengah Sains Machang.
Pelbagai acara menarik telah disusun sepanjang sambutan berkenaan antaranya perarakan oleh 67 kontinjen yang mewakili pasukan beruniform, badan-badan berkanun, anak-anak syarikat kerajaan negeri dan swasta yang melibatkan seramai 2,345 orang.
Antara kontinjen yang mengambil bahagian Markas 8 Briged, PDRM Kelantan, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Air Kelantan Sdn Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Perbendaharanaan Negeri Kelantan dan lain-lain.
Selain itu, turut diadakan pertunjukan seni bela diri, pantomim kemerdekaan berkisar perjuangan Tok Janggut, pembacaan puisi dan persembahan lagu-lagu patriotik.
Sebaik sahaja detik 12.00 malam, Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud melaungkan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali diikuti rakyat Kelantan pelbagai kaum yang hadir dan kemudiannya diikuti persembahan bunga api.
Cuaca yang baik sejak dua hari lalu sehingga malam tadi, memberikan ruang kepada orang ramai untuk menghadiri majlis berjalan lancar itu. – HARAKAHDAILY 31/8/2024











