Kemerdekaan sebenar apabila rakyat hidup dengan selamat

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia sambil menekankan pentingnya mempertahankan kemakmuran dan keharmonian yang telah dinikmati selama ini.

Beliau menyatakan bahawa selama 67 tahun, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum, agama, dan latar belakang telah hidup dalam keadaan harmoni dan penuh toleransi.

Kejayaan itu jelasnya, adalah hasil daripada kepatuhan kepada asas-asas Perlembagaan yang telah digariskan sejak kemerdekaan Malaysia.

- Advertisement -

“Keadaan ini membolehkan usaha-usaha mengisi kemerdekaan dapat dilaksanakan dengan lancar, terutama dalam memacu kemajuan ekonomi negara, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan wilayah, serta mewujudkan perpaduan sesama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kebangsaan ke-67.

Dalam pada itu ujarnya juga menekankan bahawa kemerdekaan sebenar bukan hanya mengenai kebebasan daripada penjajah, tetapi juga mengenai keupayaan rakyat untuk menjalani kehidupan dengan selamat, bebas mencari rezeki dan menikmati kemakmuran.

Beliau turut menyatakan kebimbangannya terhadap peningkatan kos sara hidup yang menghimpit golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Muhyiddin mengkritik langkah kerajaan dalam melaksanakan rasionalisasi subsidi diesel, yang menurutnya, memberi kesan berantai kepada kenaikan kos perkhidmatan dan harga barangan keperluan asas.

Katanya, situasi itu telah mendorong kepada peningkatan kadar inflasi kepada 1.9 peratus pada suku kedua 2024, berbanding 1.8 peratus pada separuh pertama.

“Situasi ini jika tidak ditangani akan terus menekan kehidupan rakyat yang selama ini sudah dihimpit dengan kenaikan pelbagai kos sara hidup,” tegasnya.

Muhyiddin turut mengingatkan rakyat agar tidak melupakan jasa para pemimpin dan pejuang terdahulu yang telah berjuang untuk kemerdekaan tanah air.

Beliau menyeru rakyat untuk mempertahankan kemerdekaan ini dengan iltizam dan semangat bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman, makmur, dan sejahtera. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

- Advertisement -