Generasi kini perlu ambil iktibar perjuangan kemerdekaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Susah payah dan pertumpahan darah wangi para pejuang demi kemerdekaan agama, bangsa dan negara perlu terus diingati dan disanjungi sebagai iktibar kepada generasi kini.

- Advertisement -

Kenyataan Hari Kebangsaan ke-67 yang dikongsi laman rasmi Facebook TV PAS Malaysia menegaskan perlunya mempertahankan kemerdekaan melalui generasi masa kini.

“Generasi kini bertanggungjawab untuk menjaga ibu pertiwi ini dengan kaca mata dan pemahaman sejarah yang benar supaya perjuangan terlaksana atas landasan yang tepat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Jelasnya, tahun demi tahun, Malaysia semakin berdiri gagah menempa nama di persada dunia dalam pelbagai kejayaan dan pencapaian oleh anak-anak watan dari setiap ceruk desa dan kota.

Tambahnya, 67 tahun yang berlalu dengan laungan keramat ‘Merdeka’ oleh Bapa Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 menandakan ternoktahnya penjajahan di tanah bertuah Malaysia ini setelah beratus tahun lamanya.

“Kelangsungan identiti nasional ini perlu dipelihara dengan ikatan kebenaran dan kasih sayang,” katanya.

Justeru itu, kenyataan menjelaskan bahawa paksi langkah yang diatur hari demi hari perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati supaya tidak terjatuh kembali ke perangkap musuh yang sedang mengintai ruang-ruang perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-67 tahun ini, marilah kita mengenang kembali perjuangan leluhur kita dalam mencapai kemerdekaan dan menyemarakkan kembali obor perjuangan dalam diri masing-masing.

“Sama-sama kita kibarkan Jalur Gemilang bersama kesedaran dan visi yang jelas pada ungkapan kemerdekaan yang dilaungkan penuh semangat pada 31 Ogos 2024,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/8/2024

- Advertisement -