
KOTA BHARU: Peristiwa malang yang menimpa seorang warga India Vijayaletchumy, 48, dilapor terjatuh ke lubang dalam di jalan masjid India sehingga sekarang masih belum lagi ditemui.
Pensyarah psikososio sebuah universiti awam Dr Zulkeflee Yaacob berkata, peristiwa yang berlaku itu menyebabkan muncul pelbagai diksi kosa kata bahasa Melayu digunakan media elektronik, cetak atau Medsos.
Katanya, sekarang muncul diksi kata jerlus, mendap dan runtuh atau dimajmukkan sebagai tanah jerlus, tanah mendap atau tanah runtuh.
“Penggunaan bahasa apa pun mempunyai elemennya iaitu kesempurnaan bahasa Melayu dikesan kestabilan sistem dan diksi kata.
“Keindahan proses pembinaan kata, kelenturan konteks dan waktu peristiwa bahasa, kepelbagaian cara dan gaya penyampaian idea dan perasaan serta keberkesanan maksud, konsep dalam pelbagai disiplin.
“Maksud tanah jerlus ialah terperosok dalam lubang besar yang muncul di permukaan jalan,” katanya di sini.
Menurutnya tanah jerlus terbentuk apabila air hujan berasid semula jadi menghakis batu-batu di bawah tanah sekali gus merosakkan lapisan di bawah permukaan jalan.
Bagi disiplin geologi pula tanah jerlus merupakan pemendapan alamiah permukaan jalan disebabkan pelarutan batu-batu mengikut tahap kedalamannya.
Kata beliau tragedi itu berpunca struktur tanah yang dikesan tanah batu kapur mempengaruhi pergerakan air di bawah tanah menjadikan tanah tidak stabil.
Manakala runtuh pula ertinya roboh suatu struktur dengan cara menjatuh ke bawah atau menggolongsor ke permukaan bawahan atau suatu objek terjatuh ke bawah.
“Dalam ayat contoh jika penguasa menerima rasuah suatu normal operasional mengundang ekonomi negara akan runtuh.
“Sementara kata mendap dalam kamus bahasa Melayu maknanya turun ke bawah dan bertimbun di dasar, segala benda berkumpul atau yang mendap.
“Dalam ayat contoh; Ruang kosong di bawah lantai siar kaki menyebabkan tanah mendap di Jalan Masjid India,” ujarnya.
Oleh itu kata beliau pihak berkuasa perlu mengesahkan penggunaan diksi kata sebenar berkaitan peristiwa tersebut bagi membantu media dapat menggarap laras bahasa kewartawanan dengan kosa kata yang sesuai.
Menurutnya juga tahap kesempurnaan bahasa jua parameter pemberitaan dan penyampaian maklumat tepat dan berkesan. – HARAKAHDAILY 30/8/2024











