
KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan ke-67 kepada semua rakyat Malaysia dengan harapan sambutan tahun ini akan mengimbau ingatan kita kepada keazaman kolektif dan harapan bersama generasi terdahulu yang menjadi pencetus kepada perjuangan kemerdekaan negara daripada penjajahan asing.
“Tanpa kesedaran dan keinsafan yang mendalam, terutama dalam kalangan generasi baharu, terhadap idea besar yang melahirkan negara ini, wujud kemungkinan tindak-tanduk kita hari ini akan merungkai teras-teras yang mengikat kita dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat, sekali gus meranapkan legasi memori (legacy of memories) yang berperanan besar dalam membentuk identiti nasional kita,” ujar Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kecenderungan ke arah itu terlalu menonjol kini dan boleh dilihat atau dibaca dengan kerap dan jelas dalam naratif di ruang awam, terutamanya dalam forum-forum maya.
Tambahnya, tanpa usaha keras dan bersungguh-sungguh untuk membanterasnya, perpaduan yang menjadi benteng penting kemerdekaan sesebuah negara akan tumbang menyembah bumi dan semua harapan serta cita- cita murni bangsa yang bebas dan bermaruah juga akan kecundang.
Beliau berkata, sesebuah bangsa wujud dalam minda kumpulan manusia yang membentuknya.
Katanya lagi, sebagai ‘komuniti politik yang dibayangkan’ (an imagined political community), kelangsungan hayatnya sangat bergantung kepada sejauh mana anggota komuniti tersebut mengongsi dan mendukung imej bangsa berkenaan dalam kesedaran masing- masing serta mengatur kehidupan mereka berdasarkan gambaran itu.
“Sempena sambutan Hari Kemerdekaan ini, PAS menggesa semua pihak dan kumpulan agar kembali kepada keazaman kolektif tunggal yang pernah membebaskan negara daripada penjajahan lebih 60 tahun lepas, agar ia sekali lagi menjadi senjata paling ampuh dalam memastikan kemerdekaan negara akan dapat kita wariskan pula kepada generasi- generasi akan dating,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa hamba dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa hamba serahkan. – HARAKAHDAILY 30/8/2024











