
KUALA TERENGGANU: ADUN Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah cukup berbesar hati diberi ruang untuk meluncurkan Direktori Baroh Katong yang merupakan sebuah buku yang mempunyai kepelbagaian maklumat mengenai penduduk kampung di situ, hari ini. (Foto atas)
Katanya, direktori itu bukan sekadar memudahkan penduduk kampung mengenali antara satu sama lain, tetapi juga sebagai alat yang boleh digunakan untuk memperkukuhkan lagi hubungan kejiranan dan menggalakkan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Pengerusi (Penaja) Komuniti Baroh Katong, Tolahah Muda serta seluruh jawatankuasa yang berjaya melaksanakan direktori itu.
“Kebersamaan dan semangat kekitaan penduduk di Kampung Baroh Katong ini sangat boleh dipuji dengan baik,” ujarnya dalam catatan di Facebooknya.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat, menjadi kelaziman beliau untuk hadir ke program-program kemasyarakatan bersama orang-orang kampung.
Katanya, apabila turun ke kampung-kampung, beliau dapat melihat lebih jelas bagaimana semangat keharmonian, saling kerjasama dan toleransi penduduk kampung di situ.
Indikatornya, ujar beliau terletak pada bagaimana program tersebut diurus, kesepakatan mengendalikan program dan juga berapa ramai penduduk yang hadir.

“Hari ini saya dapat lihat sendiri bagaimana penduduk di Kampung Baroh Katong ini bekerjsama dalam mengendalikan majlis ini.
“Bahkan lebih mendalam lagi, kerjasama dan komitmen untuk menyiapkan direktori kampung yang dilancarkan hari ini,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu.
Beliau menambah, ianya bukan satu perjalanan mudah dan tanggungjawab yang ringan.
Menurutnya lagi, penduduk kampung juga saling membawa macam-macam makanan pagi ini untuk dijamu.
“Semoga keharmonian dan perpaduan ini terus diterjemahkan dalam menjadikan kampung ini sebagai contoh kepada kampung-kampung lain,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 30/8/2024











